PAKATAN Harapan akan membincangkan isu tujuh ahli Parlimen Umno yang diterima masih ke Bersatu pada Selasa dalam mesyuarat Majlis Presiden akan datang, kata Lim Guan Eng.
“Saya rasa ia jalan terbaik untuk kita bincangkan perkara ini pada mesyuarat majlis presiden akan datang,” kata setiausaha agung DAP itu.
Lim yang juga menteri kewangan berkata, beliau secara peribadi bertemu Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad mengenai niatnya dan pemimpin itu sedia berbincang mengenai isu ini pada mesyuarat berkenaan.
“Dr Mahathir setuju berbincang mengenainya. Kita perlu tunggu beliau kerana beliau agak sibuk,” kata Lim selepas menyerahkan peruntukan RM50 juta kepada sekolah Tahfiz.
Lim berkata demikian ketika menjawab pertanyaan berhubung tujuh bekas ahli Parlimen Umno yang meninggalkan parti itu untuk menjadi wakil rakyat bebas dan diterima menyertai Bersatu pada Selasa.
Dr Mujahid Yusof Rawa yang merupakan menteri di Jabatan Perdana Menteri dalam hal ehwal Islam menambah, mereka yang menyertai Pakatan Harapan perlu terlebih dahulu setuju dengan perjuangan pakatan itu.
“Terlebuh dahulu mereka perlu setuju dengan apa yang kita perjuangkan.”
“Dan dengan menyertai kita, tidak bermakna kesalahan yang dibuat ketika dalam Umno akan dimaafkan. Mereka perlu bertanggungjawab ata apa yang mereka lakukan sebelum ini.”
“Apa niat mereka untuk menyertai kita, itu kita akan bincangkan pada mesyuarat majlis presiden,” kata Mujahid.
Semalam, tujuh bekas ahli Parlimen Umno termasuk Hamzah Zainuddin dan Ikmal Hisham Abdul Aziz menyertai Bersatu, menjadikan jumlah ahli Parlimen dalam parti itu kepada 22 orang di Dewan Rakyat.
Hamzah Zainuddin (Larut) dan Ikmal Hisham (Tanah Merah) menyertai Dr Latiff Ahmad (Mersing), Rosol Wahid (Hulu Terengganu), Mohd Fasiah Mohd Fakeh (Sabak Bernam), Shahbudin Yahya (Tasek Gelugor) dan Mas Ermieyati Samsudin (Masjid Tanah) untuk beralih arah kepada parti dalam Pakatan Harapan.
Mereka diberikan sijil keahlian sebelum sidang media oleh Pengerusi Bersatu Dr Mahathir Mohamad.
Mas Ermieyati mengumumkan penyertaannya ke Bersatu pada Disember lalu.
Ahli Parlimen terakhir, Rosol Wahid (Hulu Terengganu), tidak dapat hadir ke majlis itu.
Pengumuman itu dibuat menjelang pilihan raya kecil Semenyih yang akan bermula pada hari Sabtu. Pilihan raya kecil itu akan menjadi pertembungan pertama antara Umno dan parti pecahannya Bersatu selepas pilihan raya umum.
Hamzah, yang merupakan bekas menteri perdagangan dalam negeri, keluar Umno bersama lima yang lain pada 14 Disember.
Umno hilang 17 Ahli Parlimen sejak PRU14, menjadikan parti itu kini mempunyai 37 wakil di Dewan Rakyat.
Bersatu sebelum ini menerima kemasukan Ahli Parlimen Jeli Mustapa Mohamed, yang juga bekas menteri perdagangan antarabangsa dan industri, pada akhir Oktober lepas, disusuli Ahli Parlimen Bagan Serai Dr Noor Azmi Ghazali pada 28 November lepas.
Dr Mahathir berkata, penerimaan mereka untuk menyertai Bersatu tidak bermakna mereka bebas daripada sebarang salah laku sebelum ini.
“Kita tidak akan tawarkan perlindungan daripada kesalahan lalu, tetapi kita terima mereka dengan syarat,” katanya di Yayasan Kepimpinan Perdana semalam. – 13 Februari, 2019
Komen