Selepas 60 tahun politik yang sama, Malaysia mahu ke mana?


Sheridan Mahavera

Rakyat Malaysia masih terperangkap dalam petak-petak perkauman dan agama – masing-masing saling curiga dan bersaing untuk mendapatkan keistimewaan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 3 September, 2017.

DUA kejadian berasingan hanya beberapa minggu sebelum Hari Merdeka menjadi simbol legasi model politik yang diwarisi oleh Malaysia: gelas plastik yang berlainan untuk murid Muslim dan bukan Muslim, dan tawaran status Bumiputera kepada masyarakat India Muslim.

Selepas 60 tahun politik Barisan Nasional (BN), di sinilah kita tercampak.

Biarpun 60 tahun yang lalu relatifnya aman dan harmoni, rakyat Malaysia masih terperangkap dalam petak-petak perkauman dan agama – masing-masing saling curiga dan bersaing untuk mendapatkan keistimewaan.

Model politik kongsi kuasa BN bukan unik, kata ahli akademik. Model itu, yang menjadi tunjang struktur BN, juga diamalkan di negara pascakolonial yang lain yang masyarakat pelbagai etniknya teruk berpecah.

Apa yang istimewanya tentang Malaysia ialah model ini bertahan lama.

Ahli sains politik Dr Meredith L Weiss menulis pada 2013 bahawa model itu berguna buat negara-negara Asia Tenggara, termasuk Malaysia, untuk menangani kerumitan tuntutan masyarakat berbilang kaum.

Tetapi model itu sepatutnya jadi “titik permulaan” dan bukannya “matlamat”, kata Weiss dalam kertasnya “The Consociational Model in Southeast Asia, Is It (Still) Relevant?”

Kongsi kuasa

Secara ringkasnya, kongsi kuasa ialah sebuah model tentang perkongsian kuasa dalam sebuah negara yang terbelah atas garis perkauman, agama atau bahasa yang masing-masing ada parti politik, media dan kumpulan berkepentingan sendiri.

Menurut Arend Lijphart, ahli sains politik yang mencipta istilah itu, sistem tersebut melahirkan “kerajaan oleh kartel elit yang dibentuk untuk menukarkan sebuah demokrasi dengan budaya politik yang berpecah-belah kepada sebuah demokrasi yang stabil.”

Di Malaya, Perikatan yang dibentuk oleh Umno, MCA dan MIC mewakili model ini – setiap kelompok etnik memiliki sebuah parti politik yang akan merundingkan kepentingan masyarakat masing-masing antara satu sama lain.

Pada 1974, BN menggantikan perikatan itu dan memasukkan parti-parti politik yang mewakili kelompok yang pelbagai dari Sabah dan Sarawak.

Pakar hubungan antara etnik, Prof Mansor Mohd Nor berkata model kongsi kuasa itu mudah diterima di Malaysia kerana sejarah negara itu sendiri.

Raja-raja Melayu yang beragama Islam sejak zaman Kesultanan Melaka sudah mengamalkan dasar integrasi kaum, katanya.

Ini berbeza dengan dasar asimilasi apabila kelompok bukan pribumi akan menyerahkan identiti budaya dan etnik sebagai ganti kepada identiti kebangsaan dan kerakyatan.

Perlembagaan Persekutuan, kata Mansor, diasaskan atas integrasi ini.

“Islam jadi agama persekutuan tetapi kepercayaan lain masih boleh diamalkan. Melayu serta pribumi Sabah dan Sarawak mempunyai kedudukan khas tetapi hak-hak kaum lain dilindungi oleh Yang di-Pertuan Agong.

“Dalam politik kongsi kuasa, ada rundingan untuk mencapai konsensus atas setiap isu… demi membina kesatuan sosial antara kumpulan etnik yang pelbagai menjadi negara aman, harmoni dan stabil,” kata Mansor, pensyarah di Institut Kajian Etnik, Universiti Kebangsaan Malaysia.

Hujah beliau, sekiranya nanti gabungan pembangkang Pakatan Harapan (PH) membentuk kerajaan, ia masih terpaksa mengamalkan kongsi kuasa.

In the 12th and 13th general elections, DAP pledged to improve the people’s lot, but nothing came out of it. – EPA pic, July 29, 2017.

Jurang lebar

Namun ketika ia menggalakkan penerimaan dalam kalangan masyarakat yang berbilang etnik, perkongsian kuasa cenderung melebarkan jurang dan bukan merapatkan perbezaan.

Dengan menyusun tadbir urus di sekitar perbezaan sosial, perkongsian kuasa mungkin mengelak atau meremehkan usaha untuk menghapuskan perbezaan itu, tulis Weiss.

Gelas air yang berbeza untuk murid beragama Islam dan bukan Islam di sebuah sekolah di Hulu Langat adalah satu contoh, walaupun tabik kepada BN, menterinya mengarahkan amalan itu dihentikan.

Dalam Laporan Diskriminasi Kaum Malaysia 2016, badan masyarakat sivil Pusat Komas berkata insiden diskriminasi terus meningkat tahun lalu.

“Kerajaan Malaysia tampaknya telah memungkiri beberapa janji substantifnya untuk menggalakkan kesatuan nasional dan perpaduan sosial di negara ini,” kata laporan itu.

Misalnya, konsep 1Malaysia dan pembentukan Majlis Perundingan Perpaduan Negara (MPPN) yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri Najib Razak untuk menggalakkan perpaduan nasional sudah tidak lagi wujud, kata laporan itu.

Isu status Bumiputera untuk kaum India Muslim juga menunjukkan bagaimana perpecahan sosial yang membawa bersamanya hak istimewa sering digunakan sebagai alat politik.

“Adalah memalukan apabila biarpun selepas 60 tahun Merdeka dan 54 tahun pembentukan Malaysia, istilah Bumiputera masih dipakai hanya untuk rakyat Malaysia daripada kaum tertentu,” kata Pusat Komas dalam satu kenyataan yang lain berhubung isu yang sama.

“... warga Malaysia berbilang kaum dinafikan keistimewaan yang sama walaupun mereka lahir dan menhabiskan seluruh hayat tinggal di Malaysia sejak merdeka,” kata Pusat Komas.

Pilihan lain

Daripada meneruskan perkongsian, Saifuddin Abdullah, bekas timbalan menteri BN, mengusulkan agar Malaysia mencuba sistem politik berasaskan “pemusatan” atau ‘centripetalism’.

Idea asal ahli teori politik Donald Horowtiz dan Benjamin Reilly, pemusatan kuasa menggalakkan ahli politik untuk mencari dukungan di luar kelompok masyarakatnya dan tidak hanya bertumpu pada kepentingan kumpulannya sendiri.

“Ketika perkongsian kuasa cenderung mengakibatkan perpecahan etnik pada semua peringkat dalam masyarakat, pendekatan pemusatan kuasa cuba menggalakkan kesederhanaan atas isu-isu etnik,” kata Laurent de Briey dalam “Centripetalism in Consociational Democracy: The Multiple Proportional Vote”.

Isu utamanya ialah apakah mempunyai perwakilan kaum lebih baik, atau apakah lebih molek bagi ahli politik mewakili seluruh bangsa, tulis de Briey.

Dalam konteks Malaysia, ia adalah pilihan antara terus mempunyai pemimpin yang hanya memperhatikan kepentingan Melayu, Cina, India, orang Sabah dan Sarawak, atau pemimpin Malaysia yang menjaga semua warga Malaysia.

BN melalui inisiatif Transformasi Nasional 2050 mengatakan ia sedang berusaha membentuk sebuah sistem kepimpinan yang menjaga kepentingan semua rakyat Malaysia atau dalam kata lain, model sebuah Bangsa Malaysia menjelang 2050.

Tetapi seperti kata pemimpin muda PH, Nik Nazmi Nik Ahmad: “Kenapa tunggu sehingga 2050 untuk ada Bangsa Malaysia? Undi PH dalam pilihan raya akan datang dan kita ada Bangsa Malaysia.” – 3 September, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen