Saksi nampak Adib duduk di bahu jalan sambil pegang dada


Noel Achariam

Amirul Adli Yussli (kanan) merupakan saksi keempat bagi inkues kematian Muhammad Adib Mohd Kassim. – Gambar The Malaysian Insight oleh Afif Abd Halim, 13 Februari, 2019.

SEORANG saksi memberitahu Mahkamah Koroner hari ini beliau melihat seorang anggota bomba duduk di bahu jalan dan memegang dada ketika rusuhan di kuil Sri Maha Mariamman Seafield di SubangJaya, Selangor pada November lalu.

Pramugara pelatih Air Asia, Amirul Adli Yussli berkata beliau melihat anggota bomba berkenaan, yang dipercayai Muhammad Mohd Kassim, selepas trak bomba melanggar kenderaan Emergency Medical Rescues Services (EMRS).

“Saya melihat anggota bomba (Adib) duduk di bahu jalan. Saya kemudian terdengar orang-orang di situ mengatakan beliau hendak pengsan,” kata Amirul yang merupakan saksi keempat dalam inkues kematian Adib di mahkamah Shah Alam hari ini.

“Beberapa orang bertanya kepada saya jika saya boleh menghantarnya ke hospital dan saya kata tidak boleh kerana kereta saya rosak dan tidak boleh membukanya.”

Amirul dan kawannya sedang dalam perjalanan ke Putra Heights apabila laluan di situ disekat oleh para perusuh. Mereka kemudian meletak kenderaan dan turun untuk melihat apa yang berlaku.

Amirul berkata melihat ratusan orang berkumpul mengelilingi sebuah kereta yang sedang terbakar.

“Mereka berbual dan ada yang minum arak.”

Amirul berkata pada ketika itu beliau melihat trak bomba dan jentera EMRS mendekati tempat kejadian.

“Kemudian sekumpulan orang menjerit kepada petugas pemadam kebakaran ‘jangan padam’. Mereka kemudian menyerang trak itu dan ia mengundur ke arah van.”

“Dalam kekecohan itu, trak bomba yang mengundur melanggar kereta saya,” katanya.

Amirul memberitahu mahkamah beliau risaukan keadaan keretanya dan pergi memeriksa.

“Ketika itu saya melihat anggota bomba di jalan raya beberapa meter jauhnya,” katanya.

Menjawab soalan  DPP Fatin Hadni Kahiruddin, Amirul berkata beliau tidak bercakap dengan Adib.

Amirul juga berkata tidak melihat sebarang kesan lebam pada Adib dan bertanya kepada orang-orang di sekelilingnya apa yang berlaku.

“Saya mendengar beliau dipukul tetapi bila saya bertanya orang lain, mereka mengatakan tidak melihat apa-apa.”

Amirul berkata sekumpulan individu kemudian membawa Adib pergi, sambil menambah beliau tidak dapat mengenal pasti dengan siapa beliau bercakap ketika bertanya tentang Adib. – 13 Februari, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen