Trump mahu Korea Selatan bayar lebih dalam perkongisan kos keselamatan


PRESIDEN Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mahu Korea Selatan menambah peruntukkannya untuk kos penempatan tentera Amerika di Semenanjung Korea.

Trump berkata demikian beberapa hari selepas kedua-dua sekutu menandatangani perjanjian awal mengenai pembaharuan perjanjian perkongsian kos untuk 28,500 anggota tentera AS di Korea Selatan, lapor agensi berita Yonhap.

“Berbilion dolar diperuntukan setiap tahun mempertahankan mereka.

“Menerusi perbincangan dengan Setiausaha (Negara) Pompeo dan (Penasihat Keselamatan Negara) John Bolton, mereka setuju untuk membayar lebih US$500 semalam. Jumlah itu perlu ditambah.” Katanya.

Jumlah yang disebutkan itu tidak sama dengan pengumuman rasmi Korea Selatan yang bersetuju meningkatkan sumbangannya sebanyak 8.2 peratus kepada US$ 920 juta untuk perjanjian selama setahun. 

Di bawah perjanjian khas selama lima tahun yang tamat penghujung tahun lalu, AS menuntut bayaran sebanyak dua kali ganda dari Seoul.

Tahun lalu, Seoul membayar 960 bilion won (US$853 juta) untuk upah pekerja awam Korea Selatan di pangkalan tentera AS dan kos-kos lain.

“Mereka bayar kira-kira US$500 juta untuk perlindungan bernilai US$5 bilion,” kata Trump. 

“Kita perlu melakukan lebih baik daripada itu, jadi mereka bersetuju membayar lebih US$500 juta lagi.” Katanya.

Trump berkata AS mempunyai hubungan baik dengan Korea Selatan dan Presiden Moon Jae In.

“Hubungan kami semakin baik dan selepas ini dengan Korea Utara pula,” katanya merujuk kepada rundingan mengenai Semenanjung Korea yang bebas senjata nuklear. 

Trump dijadual mengadakan sidang kemuncak kedua dengan pemimpin Korea Utara Kim Jong Un di Hanoi, Vietnam pada 27 hingga 28 Februari untuk mencari penyelesaian berhubung isu senjata nuklear di Semenanjung Korea. –  Bernama, 13 Februari, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen