Keluarga aktivis hilang mahu jumpa Dr Mahathir


Alfian Z.M. Tahir

Keluarga aktivis hilang Pastor Raymond Koh dan Amri Che Mat mahu berjumpa Dr Mahathir Mohamad, bagi menceritakan sebab mereka percaya polis dalang kehilangan aktivis itu. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 13 Februari, 2019.

KELUARGA aktivis, Pastor Raymond Koh dan Amri Che Mat hari ini menuduh polis bertanggungjawab dalam “kehilangan paksa” lebih dua tahun lalu.

Mereka menghantar memorandum kepada Dr Mahathir Mohamad untuk meminta pertemuan diadakan antara mereka dan perdana menteri, bagi membolehkan mereka menceritakan kisah mereka dan sebab mengapa mereka percaya polis adalah dalang kehilangan tersebut.

Dalam hujah mereka, kumpulan Citizens Against Enforced Disappearances (CAGED), mengingatkan perdana menteri akan janjinya untuk menjunjung undang-undang.

“Kami mahu perdana menteri untuk mendengar apa yang keluarga hendak katakan, dan kemudian mengesahkan dakwaan mereka,” kata Jurucakap CAGED Rama Ramanathan.

Beliau berkata demikian kepada wartawan selepas menyerahkan memorandum di Pejabat Perdana Menteri di Putrajaya, menggesa Dr Mahathir untuk berjumpa keluarga mangsa.

“Apabila Pakatan Harapan menang PRU14, Tun (Dr Mahathir) mengumumkan yang kerajaan baharu akan menjunjung undang-undang. Kami penuh harapan bahawa kehilangan misteri ini akhirnya dapat diselesaikan, dan kebenaran dan keadilan akan diangkat,” kata Rama.

“Bukti rakaman CCTV menunjukkan penculikan Pastor Raymond Koh dan cara polis bertindak kemudiannya menambah syak wasangka awal yang polis adalah dalangnya.

“Sekarang sudah dua tahun sejak Pastor Raymond Koh diculik, dan lebih dua tahun sejak Amri Che Mat yang dituduh menguruskan sekolah Syiah di Perlis hilang.”

Dua lagi individu hilang secara misteri ialah Pastor Joshua Hilmy dan isterinya, Ruth Sitepu.

Sejak tahun lepas, Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) sudah mengadakan siasatan awam terhadap kehilangan empat aktivis itu.

Siasatan itu bagi menentukan sama ada kes kehilangan itu adalah kehilangan paksa, terma yang digunakan untuk merujuk kepada penculikan melibatkan penglibatan pihak berkuasa.

“Kami meminta YAB Tun (Dr Mahathir) untuk bertemu ahli keluarga Pastor Raymond Koh dan Amri Che Mat, bersama-sama penasihat utama mereka, untuk mendengar sendiri kisah mereka dan mengesahkan apa yang kami katakan selama ini,” kata Rama.

Tambahnya, berdasarkan rakaman CCTV, kumpulan itu percaya pihak terlibat dalam penculikan Koh adalah mereka yang mempunyai kemahiran tinggi.

Rama menambah yang penculikan Amri, Joshua dan Ruth juga dilakukan dengan cara lebih kurang sama yang kelihatan seperti operasi polis.

“Pada 2017, ketika Koh dalam perjalanan ke pejabatnya, beliau diculik dalam satu gerakan yang kelihatan seperti operasi polis. Keseluruhan operasi mengambil masa kurang seminit dan dilakukan di siang hari di Petaling Jaya.

“Selepas penculikan Pastor Raymond Koh, kami juga dimaklumkan tentang kehilangan Amri Che Mat, dan Joshua serta Ruth Hilmy. Ada bukti yang Amri juga diculik dalam operasi yang serupa seperti penculikan Pastor Raymond Koh.

“Kami percaya kehilangan ini berkaitan kerana keempat-empat mereka adalag pekerja sosial agama dan Pastor Raymond Koh dan Amri Che Mat adalah ‘person of interest’ Cawangan Khas,” katanya.

Amri pertama kali dilaporkan hilang tidak jauh dari rumahnya di Perlis pada 24 November 2016. Manakala, Joshua dan isterinya, warga Indonesia, Ruth, pula hilang pada atau sekitar 30 November 2016.

Rama, bagaimanapun, menambah yang CAGED hanya mempunyai sedikit maklumat dan tidak dapat menentukan sama ada Joshua dan Ruth juga dipantau sebelum hilang.

“Apa yang pasti adalah keempat-empat mereka berkhidmat untuk golongan miskin dan terpinggir dalam negara kita. Mereka tidak kaya, dan kerana itu motif penculikan mereka sukar sekali kerana wang tebusan,” tambahnya. – 13 Februari, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen