SEKURANG-kurangnya 12 anggota tentera dan seorang wartawan cedera semalam apabila sekumpulan lelaki bersenjata menyerang konvoi yang membawa gabenor Barat Daya, lapor agensi berita China Xinhua memetik kenyataan pihak berkuasa tempatan.
Barat daya merupakan satu dari dua wilayah Anglophone yang bergolak di Cameroon.
“Dalam satu lawatan ke Kumba, Gabenor Okalia Bilai ditembak oleh puak Ambazonia (kumpulan pemisah bersenjata).
“Tiga anggota tentera cedera parah,” menurut tentera dalam satu kenyataan.
Pihak berkuasa tempatan berkata, konvoi itu diserang ketika gabenor tersebut dalam perjalanan menziarahi keluarga mangsa insiden kebakaran sebuah hospital yang meragut empat nyawa pada Isnin lalu.
“Gabenor tidak mengalami sebarang kecederaan,” kata seorang pegawai tentera yang enggan dikenali kepada Xinhua.
Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menganggarkan lebih 430,000 penduduk hilang tempat tinggal di negara itu sejak tentera kerajaan mula bertempur dengan pemisah bersenjata pada November 2017.
Kumpulan pemisah berjuang untuk merdeka dari Cameroon dan menubuhkan negara dikenali sebagai Ambazonia di dua wilayah Anglophone di sebelah barat laut dan barat daya negara itu. – Bernama, 13 Februari, 2019.
Komen