PERDANA Menteri Australia Scott Morrison hari ini mengumumkan pembukaan semula pusat tahanan pendatang pesisir pantai negara itu yang kontroversi di Pulau Christmas, tunduk kepada tekanan dasar keras terhadap pendatang.
Morrison meluluskan pembukaan semula pusat tahanan itu- yang ditutup sebulan lalu- mendakwa undang-undang diluluskan Parlimen akan meningkatkan jumlah mereka yang cuba memasuki Australia secara haram.
Pada Selasa dan Rabu, Parlimen menolak amaran kerajaan dan meluluskan akta membenarkan pelarian dan pencari suaka yang ditahan di pusat tahanan pesisir pantai sedia ada di Nauru dan Pulau Manus untuk masuk ke Australia untuk rawatan perubatan.
Ini adalah kali pertama kerajaan Australia kalah pengundian terhadap undang-undangnya sendiri di Dewan Perwakilan.
Morrison menuduh kerajaan cuba “melemahkan dan menjejaskan sempadan kita” dan berkata beliau menggunapakai “100%” cadangan pasukan keselamatan negara itu untuk meningkatkan usaha menghalang kemasukan pelarian dan pencari suaka melalui laut.
Beliau enggan menjelaskan lanjut tentang langkah yang diambil itu, selain mengumumkan pembukaan semula kem tahanan di Pulau Christmas, kawasan pendalaman Australia terletak 2,300 km dari Perth.
Keputusan itu dibuat selepas kedua-dua parti memulakan kempen sengit menjelang pilihan raya Mei ini dan dalam perdebatan hangat tentang dasar kasar kerajaan konservatif terhadap pendatang.
Dasar itu menyaksikan ribuan pencari suaka ditahan bertahun lamanya di Manus dan Nauru dalam persekitaran dikecam PBB dan organisasi hak asasi manusia.
Ketika kejutan kekalahan pengundian dasar masih wujud, Morrison enggan berundur atau mengadakan pilihan raya awal, bertegas yang rakyat Australia akan berpeluang memilih Mei nanti.
Partinya, Liberal mahu membentangkan bajet lebihan sebelum pilihan raya, dan tinjauan awam mendapati pembangkang, Buruh mendahului, bagi menafikan dakwaan kerajaan yang mereka bijak mengawal kewangan Australia.
Pusat tahanan di Pulau Christmas, yang terletak di Lautan Hindi di selatan Kepulauan Jawa, Indonesia dahulu pernah menahan beribu pendatang.
35 tahanan terakhir dibawa keluar dari pulau tersebut pada Oktober lepas, apabila kem itu ditutup. – AFP, 13 Februari, 2019.
Komen