LANGSUNG: Adib hampir pengsan, duduk di bahu jalan, kata saksi


Noel Achariam

Ketua Operasi Bomba Subang Jaya, Badrul Hisham Sarip minggalkan Kompleks Mahkamah Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam selepas dipanggil untuk memberi kesaksian dalam inkues kematian Muhammad Adib Mohd Kassim yang masuk hari ketiga hari ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Afif Abd Halim, 13 Februari, 2019.

SELEPAS dua hari prosiding inkues kematian Muhammad Adib Mohd Kassim berlangsung, masih belum jelas bagaimana anggota bomba itu cedera ketika rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman Seafield, di Subang Jaya, Selangor pada November tahun lepas.

Setakat ini, tiga saksi sudah memberikan keterangan dan bukti, tetapi tiada siapa boleh mengatakan sekiranya Adib ditarik keluar daripada trak bomba dinaikinya sebelum diserang perusuh atau dilanggar oleh trak bomba yang sedang berundur- dua kemungkinan yang sedang disiasat polis.

Semalam, Koroner Rofiah Mohamad dan pasukan peguamnya melawat kawasan Adib ditemui dan menghabiskan masa 30 minit mengkaji kedudukan kenderaan bomba dan Emergency Medical Rescues Services (EMRS) pada malam kejadian.

Mereka kemudiannya pergi ke Balai Bomba dan Penyelamat SS17 Subang Jaya untuk memeriksa kenderaan yang rosak ketika rusuhan itu.

Hari ini, pemandu EMRS, Ahmad Shahril Othman, akan menyambung memberi keterangan.

Dalam prosiding semalam, Shahril memberitahu koroner yang beliau mengandaikan yang Adib ditarik keluar daripada kenderaan dan dibelasah perusuh ketika rusuhan.

Katanya, perusuh menyerang trak bomba dan kenderaan EMRS, dan ketika serangan itu, Adib berada dalam kenderaan bersamanya.

Shahril berkata tiga lelaki memakai topi kaledar mendekati van dipandunya dan cuba membuka pintu pemandu.

“Saya kemudian memberi tumpuan kepada mereka (perusuh) dan bila saya alihkan van saya di sebelah trak, saya perasan Adib dah hilang.”

Inkues diadakan di Mahkamah Shah Alam dan dijangka berlangsung selama 52 hari.

The Malaysian Insight membawakan lintas langsung prosiding hari ini:

4.25 pm: DPP bertanya Badrul mengenai laporan polis yang dibuat di balai polis SS17. 

Badrul berkata beliau membuat laporan itu berdasarkan apa yang Shahril maklumkan kepadanya mengenai insiden itu.  

“Kami mengandaikan sekiranya mereka cuba membuka pintu di bahagian Shahril, mereka akan lakukan perkara sama di sebelah Adib. 

“Kami tulis dalam laporan Adib cedera kerana beliau ditarik dari van dan dipukul. 

“Kami kemudian memaklumkan kepada polis yang mengambil laporan kami yang kami tidak nampak Adib dipukul tetapi kami tidak masukkan dalam laporan.”

4.10 pm: DPP bertanya Badrul apa yang berlaku ketika trak mengundur.

Badrul menjawab beliau mendengar bunyi hentakan namun tidak merasakan apa-apa. 

“Saya rasa sedikit impak. Keadaan kecoh di luar trak.”

DPP bertanya Badrul adakah Hazim sahaja yang tiada dalam trak. 

Badrul jawab ya dan ketika itu apa yang mereka lakukan adalah mendapatkan bantuan polis. 

“Semasa kita buat roll call Hazim ada bersama tetapi Adib tiada.

“Dalam perjalanan ke balai polis, saya tidak tahu Adib tiada dalam van.

“Kami kemudian meminta polis ke lokasi untuk mencari Adib.”

3.25 pm: DPP bertanya Badrul apa yang berlaku ketika trak berhenti. 

Beliau menjawab sekumpulan individu datang ke arah trak.

“Saya arahkan anggota saya agar tidak keluar dari trak. Tetapi, dua daripada anggota saya Hazim dan Anuar keluar dari trak.

“Mereka teruja kerana mahu padamkan kebakaran.”

Badrul berkata, beliau kemudiannya dengan segera meminta anggota yang lain untuk panggil mereka semula.

“Ketika itulah mereka (perusuh) mula membaling kayu dan batu. Ketika itu, pemandu Elliza mula mengundurkan trak.

3.45 pm: Badrul kemudian memberitahu koroner yang beliau dimaklumkan oleh anggotanya bahawa Hazim tiada bersama mereka tetapi Anuar berjaya kembali ke trak.

Beliau berkata, ketika itu dia merasa takut kerana cermin hadapan di bahagian pemandu pecah. 

“Saya takut dan pegang pintu di sebelah saya. Mereka mula mengetuk tepi pintu. 

“Ia sangat bising dan menakutkan. Saya lihat belakang dan di tepi. Saya tidak dapat di hadapan kerana cermin pecah. 

“Saya tidak tahu berapa ramai orang di sekeliling kerana saya tidak nampak dengan jelas.”

3.15 pm: DPP Hamdan bertanya Badrul bilangan pegawai yang pergi ke tempat kejadian kereta terbakar itu.

Beliau berkata terdapat tujuh pegawai dalam trak dan dua dalam van EMRS.

Hamdan bertanya apa yang dilihat ketika tiba di tempat kejadian.

Badrul berkata melihat sekumpulan individu  orang di sekitar kereta terbakar.

“Kami kemudian memberhentikan trak kira-kira 20 meter.”

3 pm: Inkues bersambung dengan Ketua Operasi Subang Jaya, Badrul Hisham Sarip dipanggil untuk memberi kesaksian.

Hamdan bertanya Badrul apa skop pekerjaannya dan memberitahu beliau adalah penyelia untuk bomba dan perkhidmatan khas.

“Saya bertanggungjawab untuk latihan anggota bomba. Memantau pusat operasi dan memastikan peralatan berada dalam keadaan baik.”

1.10 pm: Peguam keluarga Adib Mohd Kamaruzaman A. Wahab bertanya Amirul, ketika melihatnya adakah Adib masih sedar.

Amirul menjawab ya.

Peguam bertanya sama ada beliau bertanya orang ramai apa yang berlaku kepada Adib.

Katanya, tiada sesiapa di kawasan itu yang boleh beri penjelasan dan mereka tidak nampak apa-apa.

Inkues berhenti rehat. 

12.45 pm: DPP bertanya sekiranya beliau nampak orang lain di kawasan itu. 

Amirul berkata, terdapat tiga orang di kawasan berkenaan. 

Katanya, beliau kemudian bertanya kepada mereka apa yang berlaku kepada Adib. 

“Saya dengar dia dipukul tetapi saya tanya orang lain dan mereka kata tidak nampak apa-apa.”

DPP bertanya Amirul sama ada beliau cam orang yang beliau tanya. 

Amirul menjawab tidak. 

DPP kemudian bertanya Amirul sama ada beliau sedar apa yang berlaku kepada Adib. 

Amirul menjawab beliau tidak nampak sebarang kesan lebam.

“Kemudian saya buat laporan polis berhubung kerosakan kereta saya dan pergi ke IPD Shah Alam untuk beri keterangan mengenai Adib.”

12.25 pm: DPP bertanya Amirul apa lagi yang beliau sedar tentang anggota bomba berkenaan (Adib).

Amirul menjawab beliau mendengar ada seseorang mengatakan anggota berkenaaan hampir pengsan.

“Saya juga nampak beliau nk pengsan. Beberapa orang tanya saya bolehkah saya bawanya ke hospital dan saya jawab tak boleh kerana kereta saya rosak dan saya tak dapat buka pintunya. 

Petugas media sedia menunggu di perkarangan Kompleks Mahkamah Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di Shah Alam bagi mengikuti perkembangan inkues kematian anggota bomba Muhammad Adib Mohd Kassim yang masuk hari ketiga hari ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Afif Abd Halim, 13 Februari, 2019.

12.10 pm: DPP bertanya Amirul berapa lama insiden trak melanggar van itu berlaku.

Beliau menjawab semuanya berlaku dalam tempoh kurang lima saat.

“Van itu juga merempuh bahagian kanan kereta saya yang diletakkan di tepi.

“Saya kemudian periksa kereta saya dan melihat seorang anggota bomba duduk di tepi jalan sambil memegang dadanya.”

12.05 pm: DPP bertanya, selain kereta terbakar, apa lagi yang mereka nampak di kawasan berkenaan.

Amirul berkata, terdapat ratusan orang berdiri di keliling kereta terbakar.

“Mereka semua bercakap sesama mereka dan ada di antara mereka minum minuman keras.

“Kemudian saya nampak trak dan van menuju ke arah kereta terbakar. Tetapi terdapat sekumpulan individu menjerit ke arah mereka agar tidak memadamkan kebakaran.

“Kemudian kira-kira 50 orang menyerbu ke hadapan trak dan mula membaling botol dan salah seorang daripada mereka memukul cermin hadapan trak dengan sebatang kayu panjang.”

DPP bertanya Amirul dari mana datangnya kumpulan berkenaan.

Beliau menjawab mereka datang dari arah kuil.

“Kemudian saya nampak trak itu berundur dan melanggar van.”

11.50am: Koroner melepaskan Shahril dan memanggil saksi keempat pelatih pramugara AirAsia Amirul Adli.

Timnbalan pendakwa raya (DPP) bertanya Amirul apa yang berlaku pada malam insiden berkenaan. 

Amirul berkata, beliau dan rakannya sedang memandu ke Putra Heights untuk berjumpa kawan sebelum bertembung rusuhan berkenaan. 

“Kami berhentikan kereta kerana jalan sudah disekat. Kami tidak tahu apa yang berlaku dan nampak sebuah kereta terbakar. 

“Kami tanya kepada satu pasangan di situ apa yang berlaku dan mereka berkata kumpulan buat rusuhan di kuil.”

Saksi, Ahmad Shahril Othman tiba di Komplek Mahkamah Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam hari ini bagi menyambung inkues kematian anggota bomba Muhammad Adib Mohd Kassim.  – Gambar The Malaysian Insight oleh Afif Abd Halim, 13 Februari, 2019

11.35 am: Shazlin bertanya Shahril adakah beliau sedar Adib hilang ketika rusuhan.

Shahril berkata dengan keadaan kelam kabut di sekelilingnya, beliau tidak tahu sekiranya Adin buka atau tutup pintu van. 

Shazlin bertanya jika Adib bercakap dengannya adakah beliau dengar. 

Shahril menjawab tidak kerana suasana bising. 

“Saya tidak dapat bezakan sama ada beliau ada bercakap atau tidak. Ia bising seperti suasana perlawanan bola sepak.”

11.20 am: Shazlin bertanya Shahril sama ada beliau mencari Adib selepas menyedari kehilangannya. 

Shahril berkata beliau cari dalam dan sekitar van.

Shazlin bertanya sekiranya beliau merasakan mahu keluar dari van. 

Shahril menjawab, beliau merasa lebih selamat dalam van. 

“Saya tidak keluar dari van. Saya rasa lebih selamat dalam van.

Saksi ketiga, Eliza Mohd Noor, tiba di Kompleks Mahkamah Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam hari ini.  – Gambar The Malaysian Insight oleh Afif Abd Halim, 13 Februari, 2019

11.10 am: Peguam Shazlin Mansor yang mewakili Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Bomba dan keluarga Adib bertanya Shahril tentang pusingan yang dibuat ketika trak bomba melanggar van EMRS.

Shahril berkata, ketika trak merempuh van, beliau hilang kawalan menyebabkan van berkenaan berpusing.

Shazlin bertanya sekiranya ada sesiapa berhampiran ketika trak itu merempuh van.

Shahril menjawab tiada sesiapa berhampiran.

Inkues kematian Muhammad Adib Mohd Kassim masuk hari kedua hari ini, inkues itu akan dijadual berlangsung selama 52 hari, setakat ini tiga saksi memberi keterangan dan semua mereka tidak dapat menyatakan dengan jelas adakah benar anggota bomba itu diserang perusuh. – Gambar fail The Malaysian Insight, 13 Februari, 2019.

11.00 am: Peguam keluarga Adib bertanyakan Shahril mengapa beliau membuat andaian yang Adib mungkin ditarik keluar perusuh daripada van tersebut.

“Saya buat andaian yang mereka cuba dapatkan Adib kerana perusuh menyerang trak dan van.

“Saya juga buat andaian itu kerana sehari sebelum kejadian, sebuah pasukan lain juga diancam dan dihalang memadamkan kebakaran di kuil Seafield.”

10.50 am: Peguam keluarga Adib bertanyakan Shahril tentang pengunduran yang diibuatnya selepas trak melanggar van EMRS.

Beliau bertanya jika ada orang di sekeliling ketika pengunduran itu dibuat.

Shahril kata ya.

Peguam bertanya lagi jika pintu sebelah tempat duduk Adib terbuka ketika pengunduran itu dibuat.

Shahril berkata pintu itu terbuka.

“Tetapi selepas kejadian, pintu itu masih ada tetapi rosak.” – 13 Februari, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen