TOKAN dadah Mexico, Joaquin “El Chapo” Guzman disabitkan bersalah oleh juri mahkamah New York kerana jenayah berdekad lamanya selaku ketua salah sebuah kartel dadah paling berbahaya dunia.
Bekas ketua kartel Sinaloa berusia 61 tahun itu- yang jadi tumpuan dunia selepas melarikan diri daripada penjara Mexico- berdepan hukuman penjara seumur hidup selepas sabit bersalah menyeludup bertan-tan kokain, heroin, methamphetamine dan ganja ke dalam Amerika Syarikat.
Beliau disabitkan bersalah kerana pengubahan wang haram dan pemilikan haram senjata api.
Perbicaraan tiga bulan ke atasnya tak ubah seperti telenovela, dengan bekas orang bawahan Guzman dan bekas perempuan simpanannya memberi keterangan di depan tokan dadah yang satu ketika dahulu sangat berkuasa itu.
Isteri mudanya, Emma Coronel, seorang bekas ratu cantik pula sentiasa hadir di mahkamah.
Dalam penggulungan kes semalam, peguam Guzman, Jeffrey Lichtman meminta juri supaya tidak menyabitkan anak guamnya bersalah hanya berdasarkan keterangan “sampah” saksi kerajaan.
Lichtman berhujah yang Guzman hanyalah “kambing hitam” dan penjenayah sebenar penyeludupan adalah Ismael “El Mayo” Zambada, seorang lagi pengasas kartel Sinaloa.
“Mayo adalah penyeludup dadah terbesar selama berdekad lamanya di Mexico. Dia tak pernah ditahan. Dia bayar jutaan dolar untuk terus bebas,” kata Lichtman.
Kerajaan, bagaimanapun, merayu kepada juri supaya tidak melepaskan Guzman- selepas dia dua kali melarikan diri daripada penjara di Mexico, terbaru pada 2015 menerusi terowong di kawasan mandi bilik penjaranya.
“Jangan biarkan dia terlepas daripada tanggungjawab. Biarkan dia bertanggungjawab untuk jenayahnya. Sabitkan dia bersalah untuk semua pertuduhan,” kata Pembantu Pendakwa AS Andrea Goldbarg dalam hujah penggulungannya.
Sepanjang perbicaraan, kerajaan mengeluarkan 56 saksi dan bahan bukti kukuh, termasuklah rakaman panggilan antara Guzman dan anak buahnya, perbualan dirakam secara sulit oleh pemberi maklumat dalam operasi yang berlaku selama tiga bulan.
Pihak pembela pula hanya memanggil seorang saksi, seorang ejen FBI yang dipanggil memberi keterangan dalam cubaan memperlekeh keterangan seorang pengedar kokain yang memberi keterangan menentang Guzman.
Strategi pihak pembela adalah menyerang kewibawaan saksi pendakwa- bekas setiausaha, juruterbang, pembekal kokain, penyeludup utama Guzman di AS, pengurus, akauntan, ketua komunikasinya dan bekas kekasih.
Kebanyakan mereka sedang menjalani hukuman penjara, dan berharap keterangan mereka akan dapat mengurangkan tempoh hukuman mereka.
“Saksi-saksi tersebut bukan hanya mengaku menipu setiap hari dalam kehidupan mereka yang menyedihkan- mereka juga menipu anda dalam mahkamah ini,” kata Lichtman. – AFP, 13 Februari, 2019.
Komen