APABILA M Indira Gandhi cuba mendapatkan khidmat guaman untuk menentang penukaran agama anak-anaknya kepada Islam oleh bekas suami tanpa kebenarannya 10 tahun lepas, tiada peguam bersedia mengambil kes itu, kata bekas peguamnya M Kulasegaran.
Kula, seorang peguam yang kini menteri sumber manusia berkata Indira gagal mendapatkan peguam untuk kesnya, sebelum menghubungi beliau.
“Sepuluh tahun lepas, tiada siapa mahukan kes ini. Ia kes yang boleh kalah dan ada kaitan dengan agama, sensitif,” katanya kepada The Malaysian Insight.
Kulasegaran, yang juga merupakan ahli Parlimen Ipoh Barat, berkata demikian ketika diminta mengulas tentang langkah seterusnya untuk membantu Indira yang masih belum dapat bertemu anak perempuan bongsunya, Prasana Diksa.
Tahun lepas, mahkamah mengarahkan polis mencari Prasana dan bekas suami Indira yang sehingga kini masih belum ditemui.
Gadis itu kini berusia 10 tahun selepas ditukarkan agama kepada Islam oleh bapanya, Muhammad Riduan Abdullah ketika berusia 11 bulan pada Mac 2009, bersama-sama dua lagi adik beradiknya.
Pada 2016, Mahkamah Persekutuan mengarahkan Riduan ditangkap selepas melanggar arahan Mahkamah Tinggi Ipoh supaya menyerahkan Prasana kepada Indira. Khalid Abdu Bakar yang ketika itu ketua polis negara diarahkan menangkap Riduan kerana menghina mahkamah.
Pada Januari tahun lepas, Mahkamah Persekutuan membatalkan penukaran agama ketiga anak Indira dilakukan Riduan, mengeluarkan penghakiman yang penukaran agama anak perlu mendapat kebenaran ibu dan bapa.
Walaupun penghakiman bersejarah itu dikeluarkan, Indira masih belum bertemu Prasana, yang sejak dahulu tinggal bersama Riduan, atau nama bukan Islamnya, K Padmanathan. Dua lagi anak mereka kini sudah dewasa dan tinggal bersama Indira.

Bercakap dengan The Malaysian Insight baru-baru ini, Indira berkata beliau belum mendapat apa-apa perkembangan pencarian Prasana daripada polis, dan merasakan dikhianti sistem keadilan.
Bekas guru tadika itu berkata beliau sudah kehabisan upaya dan tidak tahu ke mana lagi hendak mengadu, ditambah pula sekarang Kulasegaran tidak lagi mewakilinya.
Kulasegaran berkata beliau tidak lagi boleh meneliti kes Indira kerana dilantik sebagai menteri dalam kerajaan baharu Pakatan Harapan, yang menghendakinya melepaskan kerjaya peguamnya buat masa sekarang.
“Mahkamah Tinggi Ipoh yang perlu berbuat sesuatu dengan polis untuk mengesan Riduan dan Prasana, dan bertindak. Saya sudah minta peguam lain tolong dia, tetapi saya tak boleh paksa mereka.
“Untuk pengetahuan anda, yang mungkin anda rasa tak penting, tiada siapa di Malaysia mahu ambil kes Indira 10 tahun lepas.
“Saya pergi ke mahkamah tinggi, persekutuan dan rayuan banyak kali. Kes itu menyebabkan firma guaman saya rugi berpuluh ribu ringgit. Saya sudah buat tugas awam saya seperti dihendaki.”

Kulasegaran berkata sekarang selaku menteri, beliau “banyak buat kerja belakang tabir” tetapi tidak mahu menjelaskan lanjut.
“Dan saya perlu laksanakan tugas saya selaku menteri sumber manusia. Walauyupun saya sangat hendak tolong dia…jika saya kembali amalkan undang-undang, saya akan tolong lebih banyak.
“Malaysia tak kurang peguam. Ada 18,000 orang dan saya hanya mahu seorang,” kata Kulasegaran yang bekerja untuk kes Indira secara pro bono.
Pada November tahun lepas, Menteri Undang-Undang Liew Vui Keong berkata Putrajaya tidak boleh campur tangan mencari Prasana kerana ia soal litigasi antara Indira dan Riduan.
Liew menasihati Indira supaya memulakan prosiding hina mahkamah terhadap Riduan. – 15 Februari, 2019.
Komen