JENAZAH pemain bola Argentina, Emiliano Sala akan pulang ke Argentina pada Jumaat, kata Datuk Bandar Progreso Julio Muller kepada AFP pada Selasa.
Progreso adalah kawasan kelahiran dan tempat Sala membesar.
Mayatnya ditemui dalam bangkai pesawat di Selat Inggeris minggu lepas. Beliau dalam penerbangan ke pasukan baharunya dalam Liga Perdana Inggeris, Cardiff City daripada kelab lamanya di Perancis, Nantes apabila pesawatnya hilang di selat itu pada 21 Januari lalu.
Muller berkata mayat Sala akan tiba pada tengahari dan dibawa ke gimnasium bersebelahan dengan ibu pejabat kelab belia, tempat berkabung dijadualkan berlangsung.
Katanya, “emak, kakak dan abang Sala sudah pun tiba di Progreso.”
Pihak berkuasa British secara rasmi mengenal pasti mayat Sala minggu lepas, dan keluarganya selepas itu berkata “sekarang mereka sudah mula boleh berkabung untuk anak kami.”
Sala, 28, terbunuh kerana “kecederaan kepala dan dada”, kata inkues yang dibuat di Englad pada Isnin.
Beliau menaiki pesawat ringan itu, yang kemudiannya terputus hubungan berhampiran Kepulauan Guernsey, British.
Bangkai pesawat ditemui di dasar laut, tetapi juruterbang, David Ibbotson, 59, masih lagi hilang.
Bekas pasukan Sala yang kembali bermain pada Ahad dalam Liga Perdana Perancis memakai pakaian serba hitam khas tanda berkabung, dengan setiap pemain memakai jersi tertera nama Sala untuk mengenangnya. – AFP, 13 Februari, 2019.
Komen