BBC meminta White House menyemak semula aspek keselamatan pada Selasa selepas seorang jurukamera BBC diserang di jelajah Presiden Trump di Texas.
Jurukamera British Broadcasting Corporation Ron Skeans diserang oleh penyokong Trump yang melaungkan slogan anti media pada jelajah presiden AS itu di El Paso pada malam Isnin.
Di kebanyakan jelajahnya, Trump berulang kali menggalakkan penyokongnya untuk mengejek wartawan yang membuat liputan programnya, menuduh mereka melakukan liputan “palsu”.
Bagaimanapun, jurucakap Trump Sarah Sanders berkata presiden “mengecam semua jenis tindakan ganas terhadap mana-mana individu atau kumpulan orang, termasuklah pengamal media.”
“Kami meminta sesiapa sahaja menghadiri acara untuk berbuat demikian dalam tata cara aman dan terhormat,” katanya.
Skeans tidak cedera dan penyerang itu yang memakai topi “Make Amerika Great Again” ditahan oleh seorang penulis blog pro Trump, Frontline America dan dikeluarkan daripada kawasan media.
Paul Danahar, ketua pengarang biro BBC America, berkata menerusi Twitternya, yang beliau sudah meminta Sanders untuk “semakan sepenuhnya aspek keselamatan selepas serangan malam tadi.”
“Akses kepada kawasan media tidak dikawal “ kata Danahar.
“Tidak ada anggota keselamatan masuk campur, sebelum, semasa atau selepas serangan.”
Danahar turut menafikan kenyataan daripada kempen “Trump untuk presiden” yang meluahkan penghargaan kepada “tindakan pantas pegawai keselamatan tempat dan undang-undang.”
“Tidak ada tindakan pantas untuk menghalang atau menyekat serangan oleh mana-mana agensi keselamatan,” kata Danahar.
Persatuan Koresponden White House turut mengecam serangan itu.
“Kami lega tiada sesiapa yang cedera teruk,” kata Presiden WHCA Olivier Knox.
“Presiden AS perlu membuat pendirian jelas kepada penyokongnya yang keganasan terhadap wartawan tidak boleh diterima.”
Koresponden BBC Washington Gary O’Donoghue, yang membuat liputan program di El Paso, berkata, jurukameranya ditolak bertubi-tubi oleh penyerang tidak dikenali “selepas presiden berulang kali mengajak hadirin mengejek yang didakwanya sebagai bias media.”
Katanya, lelaki itu cuba merosakkan kamera BBC.
“Nasib baik, Ron tidak apa-apa,” katanya.
Trump kemudiannya menangguhkan ucapannya disebabkan kekecohan itu dan bertanya kepada media: “Awak okay? Semua ok?”
Kemudiannya, beliau menyambung menyerang media dalam ucapannya, merujuk kepada “media yang sangat tidak jujur.”
Trump berulang kali mengecam media dan menggelarnya “musuh rakyat” dan mengecam laporan kritikal tentang pentadbirannya sebagai “berita palsu”.
Penerbit New York Times A G Sulzberger bulan lepas ketika satu wawancara menggesa Trump mengurangkan apa yang digelarnya retorik “ yang berisiko merbahaya” terhadap media. – AFP, 13 Februari, 2019.
Komen