Wanita di lubuk rezeki Facebook


Zainal Rashid Ahmad

SEORANG suri rumah di Cheras, Kuala Lumpur membeli Proton Kancil terpakai keluaran tahun 2000 dengan harga tunai RM2,500. Kereta cabuk ini dibaiki ala kadar dengan kos RM700. Wanita berusia 29 tahun ini mahu memulakan bisnes sendiri. Satu usaha membantu suaminya, seorang pekerja rencam yang mahir dengan kerja perpaipan rumah.

Keluarga dua anak ini tinggal di apartment sederhana yang dibeli pada 2005 dengan harga RM215,000. Pinjaman perumahan sekitar RM1,150 sebulan. Wanita ini hanya suri rumah sejak mula berkahwin. Pendapatan perkerjaan suaminya pula secara purata RM3,500 sebulan.

Bagaimana kereta Kancil ini mampu mencipta kerjaya?

Mudah. Sikap aktifnya di Facebook mendedahkan pergaulannya dengan ramai usahawan wanita yang menjalankan perniagaan dari rumah, daripada pembuat kek cawan, tukang jahit, dan usahawan kuih-muih sampailah penjual pakaian dan ubat-ubatan kucing peliharaan.

Semua usahawan ini memerlukan seseorang untuk khidmat menghantar tempahan. Jadi, suri rumah ini menghidu peluang perniagaan. Dia menjadi penghantar tempahan. Kerjaya releven pada era semua khidmat mahukan servis yang cepat dan ketika khidmat pos bukan lagi pilihan terbaik.

Kuih-muih, kek cawan, ubatan kucing atau tempahan langsir memerlukan penghantar yang efisien. Apabila tempahan siap waktu malam, pelanggan mahukan servis penghantaran waktu pagi. Begitu juga kalau tempahan siap waktu pagi, pelanggan mahukan tempahan tiba waktu petang.

Suri rumah ini menghidu demand bisnes penghantaran cepat untuk urus niaga sekitar Lembah Kelang.

Justeru, kereta Kancil terpakai satu keperluan untuk mencipta peluang pekerjaan. Wanita ini menjadi penghantar tempahan dengan caj servis antara RM20 hingga RM45 mengikut jarak dan saiz barangan penghantaran. Jadualnya unik kerana wanita ini menyediakan servisnya dua kali sekali sehari. Pagi dan petang. Pada hari Sabtu dan Ahad, servisnya ditambah sekali lagi pada 8.00 malam.

Ini kreativiti dan kemahuan seorang suri rumah dalam usaha mencari peluang bisnes. Dia memperolehi pendapatan bersih sekitar RM2,500 sebulan. Angka gaji yang baik bagi lulusan SPM yang tiada kemahiran.

Namun, tidak semua wanita memiliki kebolehan dan daya saing yang kompeten seperti suri rumah ini. Wanita masih suka merungut mengenai kos sara hidup dan apa saja yang berkaitan dengan keperluan harian.

Anehnya, majoriti wanita suri rumah ini lebih gemar merungut di Facebook. Tabiat status hantaran meroyan menjadikan mereka popular kerana menerima banyak komen dan likes. Satu budaya aneh dalam era komunikasi media sosial.

Jarang yang mahu berusaha. Walaupun Facebook juga memaparkan usaha gigih suri rumah menjana pendapatan dari rumah. Untuk rekod, terdapat hampir 24 juta akaun Facebook di negara ini dengan hampir 125,000 akaun yang menjalankan perniagaan.

Seorang suri rumah yang lain, memiliki kerjaya unik tetapi sangat berdaya maju. Saban hari waktu pagi, dia akan masuk keluar pusat beli belah. Kerjanya meninjau jualan murah.

Teknik mencari rezekinya hanya menggunakan henfon. Tiap kali melihat barangan dekorasi rumah dijual secara “sales” , segera difoto dan dipaparkan di Facebook.

Pelanggannya semua di luar Kuala Lumpur. Banyak barangan jualan murah ini tidak dijual di tempat lain. Sebagai contoh, langsir atau cadar yang dilelong. Pengikut Facebook hanya perlu segera memesan setelah foto dimuat naik.

Transaksi selalunya cepat berlaku. Pelanggan di Limbang atau Miri akan memesan belian. Syarat utama segera pindahkan wang. Wanita ini akan segera membeli dan menguruskan penghantaran.

Bagaimana bisnes ini mencipta pendapatan?

Pelanggan perlu membayar 25% harga lebih tinggi dari nilai jualan. Serta menanggung kos pos. Contohnya, langsir yang dijual pada harga RM109, perlu dibayar pada harga RM140 beserta RM12 caj pos.

Semua kos itu masih berbaloi bagi pelanggan yang tidak berpeluang ke Kuala Lumpur bagi mendapatkan barangan tersebut. Apa lagi barangan itu tidak mungkin dipasarkan di Sabah atau Sarawak.

Bisnes ini sangat menguntungkan. Wanita ini hanya perlu mengitari mall dua atau tiga jam sehari dan menjalankan dua atau tiga transaksi. Gajinya boleh menjangkau RM100 ke RM150 ringgit sehari. Kerjanya keluar masuk mall hanya dua atau tiga hari seminggu.

Ini cara suri rumah yang kreatif berusaha mencari wang. Cara Facebook digunakan sebagai medium mencari rezeki.

Kagum! Wanita cekal memang sentiasa penuh pesona. – 13 Februari, 2019.

* Zainal Rashid Ahmad ialah wartawan dan penulis sastera yang telah menghasilkan antaranya novel Hikayat Tanah Jauh (2015) dan kumpulan cerpen al-Kisah (2012), Yang Tercinta (2012), Empunya Hikayat (2014), Magis Kota (2016), Pop Urban (2017), dan kumpulan puisi Sepi Itu Mati (2016) dan Orang Sepi Pergi ke Gurun (2018). Beliau memenangi 38 hadiah sastera.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen