BERPULUH-PULUH negara menyambut baik cadangan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk melaksanakan peraturan memasang sistem brek kecemasan automatik (AEBS) pada kenderaan baharu dan kecil.
Suruhanjaya Ekonomi PBB untuk Eropah (UNECE) berkata kira-kira 40 negara bersetuju dengan draf badan dunia itu bagi melaksanakan peraturan tersebut.
“Langkah ini akan meningkatkan tahap keselamatan jalan raya terutamanya di kawasan bandar selepas 9,500 kematian dicatatkan di negara Kesatuan Eropah (EU) pada 2016,” kata UNECE dalam satu kenyataan.
Dengan menggunakan sensor, sistem itu boleh mengesan jarak kenderaan lain atau pejalan kaki yang berada di hadapan kereta yang dilengkapi AEBS.
Apabila sensor mengesan situasi yang boleh mengundang kemalangan tanpa disedari pemandu, sistem brek itu akan berfungsi secara automatik bagi mengelakkan kemalangan.
Sistem sedemikian sudah digunakan pada bas dan trak sejak beberapa tahun lalu.
Peraturan baharu PBB itu akan mengenakan syarat pelaksanaan yang ketat dan negara yang bersetuju perlu mematuhi had kelajuan yang ditetapkan pada sistem AEBS.
Peraturan itu akan dikuatkuasakan pada semua kereta baharu termasuk van dan bas mini yang membawa kurang sembilan penumpang.
Sebaik sahaja diluluskan, peraturan itu akan mula digunapakai seawal 2020.
EU dan Jepun yang mengetuai pembangunan peraturan itu, berkata sistem AEBS akan wajib digunakan pada semua kereta baharu dan kenderaan ringan komersial.
Pelaksaan peraturan itu akan memberi kesan kepada penjualan kereta baharu di kira-kira 50 buah negara yang perlu meluluskan draf regulasi tersebut, termasuk Korea Utara, Australia dan Rusia. – AFP, 12 Februari, 2019.
Komen