PENGGUNA Malaysia kerugian berjumlah puluhan juta ringgit setahun ekoran perkhidmatan penyedia telekomunikasi yang kurang memuaskan, kata sebuah kumpulan hal ehwal pengguna.
Menurut laporan tahunan Pusat Khidmat Aduan Pengguna Nasional (NCCC), jumlah kerugian pengguna adalah sebanyak RM16 juga pada 2016 dan RM15.87 juta pada 2017 disebabkan isu berkaitan telekomunikasi.
Pengurus kanan bagi hal ehwal perundangan dan polisi kumpulan itu, Shabana Naseer Ahmad berkata kerugian itu berpunca daripada isu pertikaian bil, caj perayauan, perkhidmatan jalur lebar dan mudah alih, mesej berbayar dan salah caj.
Minggu lalu Eastern Analytica melaporkan rasa tidak puas hati pengguna yang tinggi terhadap penyedia perkhidmatan telefon bimbit mereka – Maxis, Digi, Celcom and U Mobile – berdasarkan harga, perkhidmatan pelanggan, kelajuan dan liputan.
Laporan itu turut menyatakan bahawa satu daripada lima pelanggan menyifatkan perkhidmatan operator telekomunikasi menerusi platform dalam talian sebagai ‘sampah’.
Tinjauan itu berdasarkan 674,910 hantaran dalam talian yang dikumpulkan berdasarkan beberapa platform termasuk Twitter, Facebook, Instagram dan blog.
Data itu dikumpulkan antara 8 November tahun lalu sehingga 7 Januari lepas.
Shabana berkata NCC menerima 5,590 aduan berhubung syarikat telco pada 2017 dan 5,681 aduan pada 2016.
“Kita menerima banyak aduan pelanggan. Mereka berdepan isu liputan Internet yang lemah; mengadu bahawa masalah itu tidak diselesaikan dalam tempoh sepatutnya. Ada pengguna mendakwa lokasi mereka tidak mendapat liputan,” katanya kepada The Malaysian Insight.
Beliau berkata pengguna merasakan mereka tidak mendapati manfaat sewajarnya daripada perkhidmatan yang dibayar.
Shabana berkata NCCC telah menyerahkan satu memorandum kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) pada tahun lalu untuk meminta agensi itu menangani isu yang dibangkitkan pengguna.
“Kita sudah bertemu dengan hampir semua penyedia perkhidmatan telekomunikasi. Semua aduan yang diterima diberikan kepada mereka dan SKMM,” katanya.
Bagaimanapun Shabana berkata masih ada segelintir syarikat telekomunikasi mengambil mudah aduan yang dibangkitkan oleh pengguna. – 13 Februari, 2019.
Komen