SINGAPURA berikrar untuk membawa pulang dan menghukum seorang lelaki Amerika yang dituduh membocorkan maklumat ribuan pesakit HIV.
Kementerian kesihatan republik itu pada bulan lalu berkata maklumat sulit 14,200 pesakit yang dijangkiti HIV, tersebar di dalam Internet, sekali gus mencetuskan kemarahan orang ramai.
Mikhy Farrera Brochez, seorang pesakit yang positif HIV dan pernah tinggal di negara itu, dipercayai memperoleh maklumat tersebut daripada doktornya di Singapura yang mempunyai akses kementerian kesihatan.
Kebocoran maklumat itu yang mendedahkan status HIV pesakit, nama dan alamat, mengundang kemarahan banyak pihak terutamanya golongan LGBT dan NGO yang berjuang menentang AIDS.
Mengulas mengenai perkata itu, Menteri Kesihatan Gan Kim Yong menyifatkan kebocoran maklumat itu sebagai tindakan tidak bertanggungjawab dan berjanji bahawa pihak berkuasa akan melakukan sedaya-upaya membawa Brochez pulang ke Singapura.
“Brochez kini disiasat polis atas pelbagai kesalahan,” kata Gan.
“Polis sudah menghubungi pihak berkuasa Amerika Syarikat (AS) dan meminta bantuan melancarkan siasatan ke atas Brochez. Polis tidak akan teragak-agak untuk membawanya pulang bagi dihadapkan ke muka pengadilan.”
Singapura dan AS mempunyai perjanjian ekstradisi.
Brochez pernah dipenjarakan di Singapura pada 2016 kerana menipu tentang status HIV-nya, melakukan kesalahan berkaitan dadah dan menipu.
Dia dibebaskan dan dihantar pulang ke AS pada 2018 selepas menjalani hukuman.
Media tempatan melaporkan lelaki itu kini berada di Clark County di Kentucky. – AFP, 12 Februari, 2019.
Komen