PENANGGUHAN perbicaraan kes berprofil tinggil disebabkan rayuan berhubung tindakan pendakwaan menarik balik sijil pindah kes, bukan perkara luar biasa, kata peguam.
“Isu sijil (pindah kes) merupakan isu awal. Tiada faedah untuk meneruskan perbicaraan jika isu awal tidak diselesaikan,” kata Rajsurian Pillai, seorang peguam jenayah.
Beliau mengulas tentang penangguhan perbicaraan bekas perdana menteri Najb Razak berhubung skandal SRC International yang sepatutnya bermula hari ini.
Bagaimanapun Mahkamah Rayuan semalam sebulat suara membenarkan permohonan penangguhan yang difailkan Najib pada 8 Februari lalu.
“Penangguhan berdasarkan alasan yang diberikan bukan perkara luar biasa. Ia merupakan kes berkepentingan umum.
“Hakim akan mengambil semua kemungkinan dan membuat keputusan berdasarkan keperluan untuk menjalankan perbicaraan yang adil,” kata Rajsurian.
Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan diketuai Ahmadi Asnawi bersama-sama Mohamad Zabidin Mohd Diah dan Yew Jen Ki membenarkan perbicaraan ditangguhkan sementara Mahkamah Rayuan mendengar dan memutuskan rayuan Najib berhubung tindakan pendakwaan menarik balik sijil pindah kes berhubung kes berkenaan.
Mahkamah selanjutnya berkata bahawa jika penangguhan tidak diberikan dan perbicaraan berjalan seperti yang dijadualkan, ia akan menyebabkan prosiding itu dibatalkan.
Keputusan mahkamah itu mencetuskan kemarahan kalangan penyokong Pakatan Harapan dalam media sosial yang menyalahkan cara kurang kemas pihak pendakwaan mengendalikan kes mereka.
“Ia bukan cuai, ia hanya langkah berhati-hati untuk memastikan perkara tersebut tidak digunakan sebagai alasan teknikal oleh Najib apabila ia melibatkan rayuan,” kata peguam perlembagaan Lim Wei Jiet.
“Ia merupakan perkara normal dalam kes berprofil tinggi,” kata Lim samabil menambah beliau tidak menjangkakan pendengaran rayuan itu mengambil masa yang lama.
“Makhamah Rayuan akan menolak rayuan Najib dalam tempoh yang singkat,” katanya. – 12 Februari, 2019.
Berita penuh di sini.
Komen