Pengaruh teman lelaki bunuh diri, wanita AS dipenjara 15 bulan


Michelle Carter disabitkan bersalah membunuh tanpa niat dan dijatuhi hukuman 15 bulan penjara pada 2017. – Gambar YouTube, 12 Februari, 2019.

SEORANG wanita yang disabitkan bersalah kerana memperdaya teman lelakinya menerusi khidmat pesanan ringkas supaya membunuh diri, memulakan hukuman penjaranya di Massachusetts, timur Amerika Syarikat.

Menurut agensi berita Xinhua, media tempatan melaporkan pada Isnin Michelle Carter, 22, disabitkan bersalah membunuh tanpa niat dan dijatuhi hukuman 15 bulan penjara pada 2017. Sementara menunggu kes rayuannya diputuskan tertuduh telah dibebaskan.

Minggu lalu Mahkamah Agung Massachusetts mengekalkan hukumannya kerana menyebabkan kematian Conrad Roy III.

Kejadian berlaku pada Julai 2014 ketika Carter berusia 17 tahun manakala Roy berusia 18 tahun.

Mayat Roy ditemui dalam trak pikapnya yang dipenuhi dengan karbon monoksida, di sebuah kawasan tempat letak kereta. 

Selepas menyakinkan Roy untuk membunuh dirinya, tertuduh tidak langsung membantu mangsa dengan cuba meminta bantuan, kata Hakim Mahkamah Tinggi negeri itu, Scott Kafker. – Bernama, 12 Februari, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen