TIADA tindakan akan diambil terhadap Setiausaha Agung Bersatu Marzuki Yahya, kata Presiden parti, Muhyiddin Yassin.
Muhyiddin berkata beliau sudahpun bertemu Marzuki dan berpuas hati dengan penjelasannya, meskipun timbalan menteri luar itu dikritik hebat berhubung kelayakannya.
“Beliau sudah jelaskan tidak pernah mengaku belajar di Universiti Cambridge di UK.
“Orang boleh spin, tapi bagi saya itu sudah memadai.
“Prinsip kita ialah kita tak berbohong dan beliau (Marzuki) sudah jelaskan,” kata Muhyiddin.
Justeru, menteri dalam negeri itu berkata isu ini tidak perlu dipanjangkan lagi.
“Orang boleh cakap macam-macam. Kalau mereka tak gembira, itu cerita lain.
“Kedudukan beliau dalam parti akan kekal dan berkenaan jawatannya dalam Kabinet, itu akan diputuskan oleh perdana menteri,” katanya selepas melawat kem Pasukan Gerakan Am (PGA) di Semenyih, Selangor hari ini.

Marzuki berkata beliau tidak berniat untuk mengelirukan orang ramai mengenai kelayakan akademiknya.
“Sepertimana yang kita sedia maklum, sesiapa sahaja boleh memasukkan maklumat ke dalam laman web Wikipedia. Ianya juga boleh diedit oleh sesiapa sahaja pada bila-bila masa.
“Sejujurnya saya tidak pernah memasukkan apa-apa maklumat berkaitan pendidikan saya di dalam Wikipedia. Saya juga tidak pernah mengarahkan sesiapa untuk melakukannya,” katanya dalam satu kenyataan.
Marzuki menerima kritikan selepas seorang pengguna Facebook mendedahkan beliau tidak mempunyai kelulusan Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan daripada Universiti Cambridge kerana ia tidak menawarkan program pengajian jarak jauh.
Beliau mengakui memulakan pengajian jarak jauh dengan CIU pada 2002, ketika sedang berkhidmat sebagai ketua pegawai eksekutif (CEO) syarikat perkapalan dan lojistik di Pulau Pinang.
Menurutnya, beliau mendaftarkan diri tanpa memberikan penekanan kepada aspek akreditasi kursus yang ditawarkan.
“Ini kerana niat asal pengajian saya 17 tahun dahulu adalah untuk menimba ilmu dalam bidang perniagaan yang saya ceburi. Ketika itu tidak pernah terlintas di hati saya bahawa suatu hari nanti saya akan berada pada kedudukan hari ini sebagai seorang anggota pentadbiran kerajaan.
“Saya berharap agar penjelasan ini dapat meleraikan kekeliruan yang ada. Dengan ini juga, saya menyerahkan kedudukan saya sebagai timbalan menteri luar negeri dan setiausaha agung Bersatu kepada perdana menteri dan kepimpinan parti,” katanya. – 12 Februari, 2019.
Komen