NAMA warga Mongolia yang mati dibunuh, Altantuya Shaariibu, muncul dalam siasatan yang dijalankan oleh Perancis berhubung skandal kapal selam bernilai jutaan dolar, Scorpene, kata peguam negara itu sebelum pertemuan dengan Peguam Negara Tommy Thomas.
Kepada pemberita di Putrajaya hari ini, mereka memberitahu perbicaraan bagi saman sivil oleh keluarga Altantuya akan memberi harapan baru berkenaan perjanjian Scorpene yang ditandatangani ketika Najib Razak menjadi menteri pertahanan.
“Walaupun pihak berkuasa Perancis tidak menyiasat pembunuhannya, bagaimanapun namanya ada muncul,” kata peguam Apoline Cognat. Firma guaman peguam itu sepuluh tahun lalu diupah oleh kumpulan hak asasi tempatan, Suaram untuk memfailkan tindakan undang-undang berkenaan perjanjian Scorpene.
“Garis masanya sepadan, kami tahu beliau datang ke Perancis ketika perjanjian dibuat, kami maklum dia terlibat dalam perjanjian Scorpene (terjemahan)... kami tak tahu apakah peranan beliau dan ia perlu dijelaskan,” kata Gognat pada sidang media hari ini, sebelum mengadakan pertemuan dengan Thomas dan beberapa pegawai dari Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Cognat dan seorang lagi peguam, William Bourdon tiba di Kuala Lumpur pada Ahad.
Najib dan bekas penasihatnya, Abdul Razak Baginda dituduh menerima suapan dari pembelian tiga kapal selam buatan Perancis pada 2002.
Bapa Altantuya mendakwa Abdul Razak yang menerima €30 juta (RM137 juta) berhubung perjanjian tersebut, adalah kekasihnya ketika perjanjia ditandatangani.
Pada Julai 2017, mahkamah Perancis mendakwa Abdul Razak yang menguruskan pembelian kapal selam berkenaan dari Thales dan DCNS pada 2002.
Saman yang difailkan Suaram membawa kepada pendakwaan terhadap beberapa pegawai dari syarikat pembuat kapal selam itu atas dakwaan memberi suapan. – 12 Februari, 2019.
Komen