PRESIDEN Rodrigo Duterte menimbang nama baru untuk Filipina dengan menukarnya dengan cadangan nama asal Maharlika, yang pernah diutarakan oleh bekas presiden Ferdinand Marcos, lapor media di Manila.
Duterte dalam satu ucapan malam tadi dipetik berkata, sudah tiba masanya Filipina menggantikan namanya yang lebih sesuai dengan identitinya di alam Melayu.
“(Negara ini dinamakan) Filipina… kerana ditemui oleh (Ferdinand) Magellan menggunakan duit Raja Philip (II). Apabila penjajah datang, mereka namakannya Filipina,” kata Duterte, seperti dipetik portal berita Sun Star.
“Tak mengapalah. Untuk masa depan, mari kita tukar. Sebenarnya, Marcos betul. Beliau mahu tukar nama (Filipina) kepada Maharlika… Republik Maharlika kerana Maharlika perkataan Melayu… Marcos betul,” katanya.
Filipina mendapat namanya daripada raja Sepanyol, Raja Philip II ketika ia menjadi jajahan negara Eropah itu pada kurun ke-16.
Maharlika bermaksud “merdeka” dan pertukaran nama negara itu pernah dikemukakan oleh seorang senator di Parlimen pada 1978, lapor GMA News.
Cadangan itu bagaimanapun dikritik kerana hubung kaitnya dengan Marcos, yang menubuhkan sebuah unit gerila menggunakan nama sama semasa pendudukan Jepun pada 1940-an.
Pada Jun 2017, seorang wakil rakyat mengemukakan rang undang-undang untuk membentuk sebuah suruhanjaya bagi meneliti pertukaran nama Filipina, “yang lebih wajar mencerminkan identiti bangsa dan negara”. – 12 Februari, 2019.
Komen