Mesir tahan 4 pelajar kerana video hina Kristian


PIHAK berkuasa Mesir menahan empat pelajar kerana mempersendakan agama Kristian melalui video dalam talian dan mengarahkan mereka untuk ditahan selama empat hari, kata sumber kehakiman pada Isnin.

Pelajar universiti berusia antara 19 dan 24 dituduh “menghina agama Kristian”, kata sumber itu.

Jika dibicarakan dan didapati bersalah, mereka bakal berdepan hukuman penjara lima tahun.

Mereka ditangkap minggu lalu dan ditahan oleh pendakwa raya semalaman pada Ahad.

Pada akhir  Januari, mereka menyiarkan video di YouTube dan didakwa dilihat menyanyi dan mengejak doa Coptic.

Bagaimanapun mereka kemudian mengeluarkan klip itu dan menyiarkan permintaan maaf dalam talian.

Minoriti Kristian yang menyumbang 10% daripada 98 juta orang Mesir, sering kali mengeluh kerana terpinggir di negara yang kebanyakannya dihuni orang Islam.

Beberapa tahun kebelakangan ini, mereka menjadi sasaran kumpulan militan Islamic State.

Perbicaraan kerana “menghina” Kristian jarang berlaku di Mesir tetapi sebaliknya bagi kesalahan menghina Islam yang sering dibuat terhadap sarjana Islam yang liberal.

Pada 2016, empat remaja Kristian didapati bersalah menghina Islam dan tiga daripadanya dihukum penjara lima tahun selepas mengejek sembanyang umat Islam dalam video.

Kemudian pada tahun itu mereka melarikan diri ke Switzerland untuk mendapatkan suaka politik. – AFP, 12 Februari, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen