LIMA terbunuh di tenggara Nigeria ketika pertembungan antara penyokong dua parti politik utama negara itu, kata polis, beberapa hari sebelum pilihan raya umum.
Semua mangsa, ahli parti pemerintah All Progressives Congress (APC), ditembak dan dibunuh pada Ahad di sebuah pangsapuri di Effurun, berhampiran bandar minyak Warri, menurut jurucakap polis daerah Delta, Andrew Aniamaka.
“Mangsa ditembak dalam satu serangan balas dendam orang beberapa individu disyaki daripada parti pembangkang di kawasan itu,” katanya, menambah penembak melepaskan tembakan ke dalam pangsapuri itu sebelum tengah malam.
Pengerusi pihak berkuasa tempatan Uvwie, Ramson Onoyake turut mengesahkan lima maut dan berkata enam individu ditahan berhubung insiden tembakan itu.
Kejadian itu berlaku selepas beberapa pertelingkahan tercetus dalam kalangan penyokong muda calon APC dan pesaingnya, parti pembangkang Parti Demokratik Rakyat (PDP).
Menurut sumber hospital, keganasan itu menyebabkan tiga mati dan beberapa yang lain cedera pada hujung minggu lalu, tetapi polis tidak mengesahkan jumlah kematian.
Pilihan raya presiden itu akan menyaksikan pertandingan sengit antara penyandang Muhammadu Buhari yang mahu mempertahankan penggal keduanya, dengan bekas naib presiden Atiku Abubakar. – AFP, 12 Februari, 2019.
Komen