Elaun perjalanan untuk pengundi bukan rasuah


Sharon Tan

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Paul Low berkata memberi wang kepada pengundi untuk pulang mengundi bukan rasuah. – Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 2 September, 2017.

MEMBERI wang kepada pengundi untuk kembali ke kampung bagi melaksanakan tanggungjawab mengundi tidak boleh disamakan dengan rasuah kerana ia tidak mempengaruhi undi seseorang, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Paul Low.

“Adakah ia mempengaruhi seseorang untuk undi parti tertentu? Ia tidak. Mereka tidak tertakluk untuk mengundi siapa yang beri mereka elaun itu,” katanya.

Low yang bertanggungjawab dalam memantau ketelusan dan isu rasuah dalam kerajaan berkata untuk menunjukkan rasuah, tarikan untuk mengundi perlu dibuktikan.

“Jika tarikan untuk mengundi itu tidak dibuktikan, ia tidak boleh dianggap sebagai rasuah,” katanya ketika ditemui pada persidangan Demokrasi di Asia Tenggara anjuran Suhakam dan Yayasan Kofi Annan.

Low berkata demikian ketika mengulas kenyataan Timbalan Ketua (Operasi) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Azam Baki yang berkata tawaran menarik yang diberikan kepada pengundi dalam bentuk tunai atau hadiah adalah rasuah.

“Contohnya, jika pengundi ditawarkan elaun untuk pulang dan mengundi, atau dibayar RM50 supaya dia mengundi calon tertentu,” kata Azam.

Bagaimanapun, SPRM berkata bantuan tulen seperti beras atau sumbangan tidak akan dianggap rasuah. – 2 September, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen