RATUSAN anggota polis Turki menghalang ahli parlimen pembangkang pro-Kurdish daripada berhimpun di Istanbul bagi menunjukkan solidariti mereka terhadap ahli parlimen mogok lapar yang dibebaskan dari penjara bulan lalu.
Pegawai keselamatan yang membawa perisai anti-rusuhan mengepung 40 ahli parlimen dan aktivis dari Parti Demokratik Rakyat pro-Kurdish (HDP) untuk menghalang mereka daripada berjalan ke Istiklal Avenue di tengah-tengah metropolis, kata wartawan AFP.
Mereka cuba membantah dan memberi sokongan kepada ahli parlimen HDP, Leyla Guven, yang telah melakukan mogok lapar selama hampir seratus hari bagi menggesa penambahbaikan keadaan penjara untuk pemimpin militan Kurdish, Abdullah Ocalan, pemimpin Parti Pekerja Kurdistan (PKK).
“Kami berada di sini untuk menyuarakan sokongan kami terhadap Leyla Guven, untuk memberi kekuatan kami dalam perjuangannya,” kata ketua bersama HDP Sezai Temelli.
Mereka yang memakai jaket mengandungi gambar Guven cuba merempuh tembok perisai polis namun tidak berjaya. Selepas duduk seketika, mereka kemudiannya bersurai.
Guven, 55, telah dipenjarakan tahun lepas kerana mengkritik serangan Turki di utara Syria.
Dia dibebaskan bulan lepas tetapi penyokongnya tetap bimbang tentang kesihatannya, kerana dia terus hidup hanya dengan air gula atau air garam dalam usaha menekan pemerintah Turki bagi membenarkan Ocalan mengadakan pertemuan rutin dengan ahli keluarga dan peguamnya.
Ocalan, yang ditahan 20 tahun lalu, menjalani hukuman penjara seumur hidup di Pulau Imrali, berhampiran dengan Istanbul. – AFP, 11 Februari, 2019
Komen