DAP menyifatkan MCA ketandusan isu apabila cuba mengheret setiausaha parti, Lim Guan Eng ke dalam skandal pemalsuan akademik.
Setiausaha Publisiti DAP Tony Pua berkata Presiden MCA Dr Wee Ka Siong ‘tiada idea’ kerana mempersoalkan ijazah perakaunan milik Lim yang diperoleh dari Universiti Monash, Australia dan mempertikaikan sama ada menteri kewangan itu memiliki kelayakan perakaunan.
Wee membangkitkan isu itu ekoran percanggahan maklumat yang disiarkan dalam laman web peribadi Lim dan data laman web Universiti Monash.
Laman web Lim menyatakan bahawa beliau menjadi akauntan profesional pada 1983 tetapi rekod universiti menunjukkan menteri kewangan itu hanya menerima Ijazah Ekonomi pada 1984.
“Dr Wee mungkin berminat untuk mengetahui bahawa kalendar akademik Australia berakhir pada November, sebelum cuti musim panas,” kata Pua yang juga merupakan pegawai khas Lim di Kementerian Kewangan.
“Oleh itu, menjelang akhir tahun 1983, Lim telah melengkapkan pengajian dan lulus semua peperiksaan yang diperlukan untuk mendapatkan ijazah dan tauliah untuk menjadi akauntan.”
Pua berkata Lim menerima ‘Sijil Keanggotaan’ beliau dalam Persatuan Akauntan Australia tiga bulan selepas lulus peperiksaannya pada 21 Februari 1984.
“Keahliannya diluluskan sebelum beliau menerima sijil ijazahnya pada 11 April 1984. Kedua-dua salinan sijil ini dilampirkan,” katanya sambil menunjukkan kedua-dua salinan sijil itu kepada media.
“Seseorang akan mengharapkan pemegang PHD (gelaran doktor falsasah) seperti Wee dapat membezakan antara seseorang yang berjaya menamatkan pengajian dari universiti dan mendapat sijil ‘rasmi’ yang boleh diterimanya boleh jadi dalam tempoh enam bulan atau bahkan setahun kemudian,” jelas Pua.
Lim menjadi sasaran terbaharu pihak pembangkang yang mempertikaikan kelulusan akademik segelintir menteri kerajaan.
Ia susulan kontroversi yang dihadapi Timbalan Menteri Luar Marzuki Yahya apabila ada pihak mempertikaikan ijazah pentadbiran perniagaan yang dimilikinya dari Universiti Cambridge di Britain.
Bagaimanapun Marzuki menjelaskan kelulusannya itu diperoleh daripada sebuah universiti dari Amerika Syarikat.
Pembangkang turut mempersoalkan kelayakan akademik yang diperoleh pemimpin kerajaan termasuk Mohamad Sabu, Zuraida Kamaruddin dan Menteri Besar Johor Osman Sapian. – 11 Februari, 2019.
Berita penuh di sini.
Komen