Polis belum dapat kesan barang kemas dihantar ke Rosmah, kata peguam


Bede Hong

Polis belum dapat mengesahkan sama ada barangan kemas milik Global Royalty Trading SAL yang bernilai RM60 juta itu, merupakan sebahagian 1,200 barangan kemas yang dirampas polis dalam serbuan di premis yang dikaitkan dengan bekas perdana menteri Najib Razak pada Mei tahun lalu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 11 Februari, 2019.

POLIS masih belum dapat mengesahkan sama ada pihaknya memiliki 44 barangan kemas dipercayai milik syarikat emas dari Lebanon yang dihantar kepada Rosmah Mansor selepas mahkamah mengarahkan untuk berbuat demikian empat bulan lalu.

Pasukan peguam kerajaan memberitahu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini mereka juga masih belum dapat mengesahkan sama ada barangan kemas milik Global Royalty Trading SAL yang bernilai RM60 juta itu, merupakan sebahagian 1,200 barangan kemas yang dirampas polis dalam serbuan di premis yang dikaitkan dengan bekas perdana menteri Najib Razak pada Mei tahun lalu.

Kesemua 44 barangan kemas itu dipercayai masih belum dibayar dan dihantar kepada Rosmah.

Peguam kerajaan Shaiful Nizam Shahrin berkata kepada mahkamah bahawa polis tidak dapat mengesahkan atau mengenalpasti kesemua 44 barangan kemas itu.

Katanya kerajaan juga berhasrat untuk memfailkan permohonan bagi menangguhkan prosiding sementara menunggu pengesahan daripada pihak polis berhubung perkara tersebut.

Pesuruhjaya Kehakiman Wong Chee Lin menetapkan 25 Februari untuk pihak terlibat memfailkan permohonan bagi penangguhan.

Beliau turut mengarahkan Pejabat Peguam Negara memfailkan pembelaan kerajaan pada tarikh yang sama. 

Sementara itu, peguam Global Trading SAL David Gurupatham turut mengulas mengenai perkembangan perkara itu.

“Mahkamah sudah mengekalkan tarikh 4 dan 5 Mac untuk perbicaraan, dan defendan (Rosmah) akan hadir ke mahkamah dan menjelaskan lokasi barangan kemas itu, atau menerangkan sama ada ia dirampas atau tidak,” katanya ketika dihubungi The Malaysian Insigh hari ini.

Syarikat emas itu dikendalikan oleh Samer Halimeh yang memfailkan saman pada Julai tahun lalu.

Oktober lalu, mahkamah mengarahkan kerajaan Malaysia dan Peguam Negara untuk mengesahkan sama ada mereka memiliki 44 barangan kemas tersebut ekoran percanggahan afidavit yang difailkan oleh bekas Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman Amar Singh yang mendakwa polis telah merampas barangan itu.

Dalam afidavit susulan, polis tidak dapat mengesahkan sama ada mereka telah merampas 44 barangan itu.

Dalam afidavitnya, Halimeh berkata beliau masih belum menerima pengesahan dari polis sama ada barangan kemas itu berada dalam tangan pihak berkuasa.

Pemilik syarikat emas dari Dubai Adi Hasan AlFardan turut menuntut semula sejumlah emas bernilai RM20.75 juta yang dihantar kepada Rosmah.

Dakwanya, beliau masih belum menerima bayaran daripada penghantaran tersebut. Namun beliau belum memfailkan saman. – 11 Februari, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen