Tiga dekad selepas fatwa bunuh Salman Rushdie


Penulis novel British Salman Rushdie tetap jadi lambang kebencian bagi para ekstremis di serata dunia Muslim.– Gambar EPA, 11 Februari, 2019

TIGA puluh tahun selepas Iran menggesa Salman Rushdie dibunuh, penulis novel British itu tetap jadi lambang kebencian bagi para ekstremis di serata dunia Muslim. Walaupun kemarahan itu sudah reda, isu penistaan agama masih terus marak.

Novel Rushdie The Satanic Verses mencetuskan protes besar-besaran dari London sampai ke Islamabad. Menurut penganalisis, novel itu menutup ruang debat mengenai Islam yang dari satu sisi masih kekal demikian sampai ke hari ini.

Pemimpin agung Iran, Ayatollah Ruhollah Khomeini mengeluarkan fatwa pada 14 Februari 1989 menghalalkan darah Rushdie.

Sehari sebelumnya ribuan penunjuk perasaan yang marah akan penerbitan novel itu menyerang Pusat Kebudayaan Amerika di Islamabad. Lima orang terbunuh dalam pertempuran dengan polis.

Wartawan Pakistan, Shahid ur Rehman memberitahu AFP beliau antara yang pertama tiba di tempat kejadian pada hari itu. Beliau melibat bagaimana gerombolan penunjuk perasaan naik ke bumbung pusat kebudayaan dan merentap turun bendera Amerika. Polis mula-mula menembak gas pemedih mata, dan kemudian peluru hidup.

Menurut Rehman, novel itu mengejutkan dunia Islam yang pada masa itu “bermegah dengan kemenangan.”

Revolusi Iran baru berlaku sedekad sebelumnya. Kesatuan Soviet di ambang keruntuhan selepas diusir dari Afghanistan oleh puak mujahidin yang didukung Amerika, sementara dunia Islam dan Pakistan terutamanya mengaku bertanggungjawab atas kekalahan sebuah empayar.

Novel Rushdie, dan fatwa terhadapnya, “tidak ubah seperti empang pecah,” kata Rehman.

Hari ini, penulis novel itu “masih dibenci sama seperti dulu,” kata ulama Pakistan, Tahir Mahmood Ashrafi.

Tetapi “orang tidak boleh membantah terus selama 30 tahun,” tambahnya.

Kemarahan terhadap penistaan agama bagaimanapun terus membara dalam kalangan konservatif Islam.

Sepanjang 10 tahun lalu, di Pakistan ada ahli politik yang dibunuh, Eropah diancam penghapusan nuklear manakala pelajar dihukum kerana isu itu.

Kes Asia Bibi adalah contoh terbaru – seorang wanita Kristian yang hukuman mati ke atasnya kerana penistaan agama dibatalkan di Pakistan tahun lalu, mencetuskan keganasan selama berhari-hari dan menarik perhatian dunia kepada pelampau agama di republik itu.

Menurut Ashrafi, penerbitan novel itu “menghalalkan” undang-undang terhadap penistaan agama. Tanpanya, kata beliau, “orang seperti Rushdie akan terus melukakan sentimen agama Muslim.”

Novel Rushdie The Satanic Verses mencetuskan protes besar-besaran dari London sampai ke Islamabad. – Gambar EPA, 11 Februari, 2019

Malapetaka

Gesaan untuk memperbaharui undang-undang itu malah menimbulkan keganasan di Pakistan. Bagi sesetengah pihak, fatwa itu mengaburkan batas antara penistaan agama dan wacana intelektual di serata dunia Muslim.

Bagi penganalisis seperti Khalid Ahmed, penulis buku tentang mazhab di Pakistan, fatwa itu menandakan bermula “kemerosotan buruk” wacana intelektual dalam Islam.

Darah yang dihalalkan oleh Khomeini menjadi “malapetaka bagi kebebasan mencipta, sastera dan pemikiran,” kata wartawan dan sasterawan Mesir, Ibrahim Issa.

Ada beberapa fatwa lain dikeluarkan terhadap penulis sebelum ini, katanya, tetapi oleh kumpulan ekstremis yang kecil. Fatwa Khomeini adalah yang pertama dikeluarkan oleh negara Islam.

“Ia suatu detik hitam, yang 30 tahun kemudian, mengingatkan kita betapa bahayanya campur tangan agama dalam kebebasan bersuara,” katanya kepada AFP.

Pemimpin agung Iran, Ali Khamenei beberapa kali mengulangi fatwa ke atas Rushdie, termasuk yang terbaru pada 2015.

Kerajaan Iran berikrar pada 1998 ia tidak akan menguatkuasakan fatwa itu tetapi ulama Mehdi Aboutalebi, doktor sains politik di kumpulan pemikir Institut Penyelidikan Pendidikan Imam Khomeini di Qom, memberitahu AFP, “ia tidak boleh ditarik balik.”

“Walau 800 tahun berlalu, hukumannya sama,” kata beliau.

Fatwa itu jadi punca beberapa perbalahan diplomatik sepanjang bertahun-tahun – sama seperti kes penistaan agama yang lain, misalnya kontroversi kartun satira Denmark mengenai Nabi Muhammad yang disiarkan akhbar berhaluan kanan Jyllands-Posten pada 2005.

Agama dan politik saling berkait di Iran, jelas Aboutalebi, mengulangi sentimen di beberapa negara Islam lain.

“Misalnya, perseteruan Iran dan Amerika bukannya soal duit atau ekonomi… Ia tentang kepercayaan dan agama kami,” katanya.

Fatwa itu menunjukkan “kami tidak akan bertolak ansur dengan sesiapa yang melanggar batas kepercayaan kami.”

Hari ini, kekecohan tentang Rushdie hanya menarik minat “ayatollah yang paling radikal,” kata Clement Therme, felo penyelidik di Institut Kajian Strategik Antarabangsa Iran.

Rakyat Iran sudah “penat dengan revolusi,” katanya, ketika Tehran mula mencari sahabat di tengah kritikan terhadap dasar serantaunya dan program nuklear yang dipertikaikan.

“Dalam konteks pengasingan berterusan ke atas Iran, realpolitik menuntut pemimpin Iran mengelak daripada terus membangkitkan isu ini,” kata Therme.

Di Pakistan, tempat buku-buku Rushdie dijual di pasaran gelap selama bertahun-tahun, buku “Joseph Anton: A Memoir” yang merakamkan pengalaman beliau bersembunyi selepas fatwa Khomeini, dijual terbuka di sekurang-kurangnya sebuah kedai di Islamabad.

Bagaimanapun penjual buku lain masih berhati-hati.

“Ini isu agama,” kata seorang daripadanya yang hanya mahu dikenali sebagai Ayaz.

“Itu sebabnya kita tidak boleh pamer (buku Rushdie) dan tidak boleh pesan.” – AFP, 11 Februari, 2019


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen