Maduro lancar latihan perang berskala besar di Venezuela


Presiden Nicolas Maduro melancarkan latihan ketenteraan paling penting dalam sejarah Venezuela susulan krisis politik yang berpanjangan di negara Amerika Selatan itu. – Gambar EPA, 11 Februari, 2019.

PRESIDEN Nicolas Maduro melancarkan apa yang beliau sifatkan sebagai latihan ketenteraan “paling penting” dalam sejarah Venezuela semalam susulan krisis politik yang berpanjangan di negara Amerika Selatan itu, lapor agensi berita Turki Anadolu.

Latihan ketenteraan berskala besar itu, yang pertama kali diadakan dalam sejarah 200 tahun negara tersebut, akan berlangsung sehingga 15 Februari. 

“Kita perlu mempersiapkan diri untuk mempertahan kedaulatan, integriti wilayah dan kebebasan (Venezuela),” kata Maduro ketika berucap di Pangkalan Tentera Guaicaipuro di Miranda, negeri pesisir yang terletak di bahagian utara Venezuela.

“Inilah barisan angkatan bersenjata dan rakyat yang bersedia mempertahan kehormatan, maruah dan norma-norma susila sebuah negara yang lebih 200 tahun berjuang demi masa depannya.”

Beliau turut menyuarakan penentangan terhadap Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump yang secara agresif menyokong pemimpin pembangkang Venezuela Juan Guaido dan mendesak agar satu perubahan rejim dilakukan.

“Donald Trump boleh berambus, ancamannya juga boleh berambus!” kata Maduro. 

Sokongan agresif Washington terhadap “presiden sementara” yang melantik dirinya sendiri, Guaido, berkemungkinan menjurus kepada satu campur tangan langsung daripada segi ketenteraan. 

Latihan peperangan itu dipercayai diadakan untuk mempersiapkan diri bagi menangkis sebarang pencerobohan yang berpotensi dari AS dan sekutunya.

Acara ketenteraan itu dihadiri komander angkatan tentera laut dan darat serta Menteri Pertahanan Vladimir Padrino Lopez.

Latihan itu bermula pada ulang tahun ke-200 Ucapan Angostura Simon Bolivar, yang membawa kepada pergerakan kemerdekaan menentang pemerintahan Sepanyol di Amerika Latin.

Venezuela digegarkan oleh beberapa siri tunjuk perasaan sejak 10 Januari apabila Maduro mengangkat sumpah jawatan bagi penggal kedua susulan tindakan pembangkang memboikot pengundian.

Ketegangan meningkat apabila pemimpin pembangkang Guaido mengisytiharkan dirinya sebagai presiden sementara pada 23 Januari, satu langkah yang disokong oleh AS dan kebanyakan negara Eropah dan Amerika Latin.

Rusia, Turki, China, Iran, Bolivia dan Mexico pula menyatakan sokongan mereka terhadap Maduro. – Bernama, 11 Februari, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen