SORANG pegawai polis trafik yang berada di Kuil Sri Maha Mariamman Seafield pada malam rusuhan pada tahun lalu, mendakwa dia tidak nampak mana-mana anggota bomba dipukul perusuh ketika insiden trak bomba diserang.
Ketua Polis Trafik Subang Jaya Asisten Superitendan Mohd Nasir Rahman berkata kepada inkues kematian anggota bomba Muhammad Adib Mohd Kassim, bahawa trak bomba dikelilingi ramai orang ketika beliau tiba di lokasi kejadian.
Beliau menganggarkan terdapat 3,500 hingga 5,000 orang, dipercayai orang India, berkumpul di depan kuil Sri Maha Mariamman di Subang Jaya, Selangor.
“Selepas objek dilemparkan ke arah trak bomba sehingga menyebabkan cermin depannya pecah, pemandu mengundurkan kenderaan. Di kemudiannya bergerak ke depan dan sekali lagi berundur sebelum meninggalkan lokasi,” kata Mohd Nasir kepada koroner mahkamah Shah Alam.
“Apabila trak itu berundur, ia melanggar kenderaan EMRS yang berada di belakangnya,” katanya merujuk kepada kenderaan Jentera Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS).
Mohd Nasir berkata beliau berada di lokasi kejadian kira-kira 80 meter hingga 100 meter dari trak bomba dan EMRS.
“Saya melihat trak itu diserang tetapi tidak nampak mana-mana anggota bomba dipukul.
“Saya juga tidak melibat mana-mana anggota bomba keluar dari trak dan kenderaan EMRS,” katanya.
Timbalan Pendakwa Raya Awam Hamdan Hamzah bertanya kepada saksi jika beliau boleh melihat di belakang trak dari tempatnya berdiri.
“Tidak,” kata Mohd Nasir sambil menambah insiden itu berlaku selama kira-kira 10 hingga 15 minit.
Mohd Nasir berkata beliau kemudiannya menghubungi pusat perintah untuk memaklumkan insiden serangan ke atas trak itu.
“Saya dan seorang lagi pegawai cuba menghampiri perusuh tetapi orang terlalu ramai. Kami cuba memasuki kawasan itu tetapi disebabkan faktor keselamatan dan tidak dilengkapi peralatan yang sesuai, kami tidak jadi masuk.” – 11 Februari, 2019.
Komen