Rakyat Palestin iringi murid ke sekolah elak gangguan pendatang Yahudi


Sekurang-kurangnya 600 pendatang Yahudi tinggal di kawasan yang dikawal ketat tentera di bandar itu dan dikelilingi kira-kira 200,000 penduduk Palestin. – Gambar AFP, 11 Februari, 2019.

PENDUDUK Palestin di Hebron, Tebing Barat terpaksa mengiringi kanak-kanak ke sekolah bagi melindungi golongan itu dari menjadi mangsa serangan pendatang haram Yahudi.

Langkah itu diambil susulan pengunduran kumpulan pemantau antarabangsa di kawasan jajahan Israel selepas Perdana Menteri Benjamin Netanyahu pada bulan lalu mengumumkan tidak akan memperbaharui mandat pemerhati awam antarabangsa sementara Hebron (TIPH) yang didakwa bersikap berat sebelah.

Misi itu berakhir pada 31 Januari lalu.

Ia diwujudkan selepas insiden pembunuhan beramai-ramai rakyat Palestin pada 1994 dan pegawai Palestin memberi amaran bahawa pengunduran pemantau antarabangsa akan meningkatkan kes serangan oleh pendatang di bandar itu.

TIPH diwujudkan selepas 29 rakyat Palestin ditembak mati dalam sebuah masjid oleh pendatang haram Yahudi pada tahun tersebut.

Penduduk Palestin dari pertubuhan Belia Menentang Pendatang secara sukarela mengiringi kanak-kanak ke sekolah dengan memakai jaket tertera ‘pemerhati’ yang ditulis dalam bahasa Inggeris, Arab dan Hebrew.

Menurut laporan AFP, berlaku pergaduhan kecil antara pendatang haram Yahudi, penduduk Palestin dan tentera Israel ketika mereka mengiringi kanak-kanak tersebut.

Kumpulan pemerhati ditugaskan meronda dan mencatitkan pelanggaran hak yang dilakukan pendatang Yahudi, dan mereka tidak dibenarkan campur tangan.

Misi itu akan melaporkan maklumat kepada negara anggota iaitu Itali, Norway, Sweden, Switzerland dan Turki selain pihak berkuasa Israel dan Palestin.

Hebron merupakan bandar suci kepada penganut Yahudi dan Islam, dan sering menjadi lokasi pertempuran dalam konflik Israel-Palestin.

Sekurang-kurangnya 600 pendatang Yahudi tinggal di kawasan yang dikawal ketat tentera di bandar itu dan dikelilingi kira-kira 200,000 penduduk Palestin. – AFP, 11 Februari, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen