POLAND akan membeli sistem pelancar roket bergerak yang bernilai AS$414 juta dari Amerika Syarikat (AS) sebagai langkah Warsaw mengukuhkan hubungan dengan Washington ekoran kembimbangan kemunculan kumpulan pemberontak pro-Rusia.
Perjanjian itu yang dijangka ditandatangani Rabu, disifatkan Menteri Pertahanan Mariusz Blaszczak sebagai langkah penting menguatkan keupayaan tentera Poland.
Katanya penghantaran pertama sistem senjata itu akan dilakukan sebelum 2023.
Sistem HIMARS yang dibuat oleh syarikat gergasi senjata AS Lockheed Martin, boleh melancarkan enam peluru berpandu dengan jarak 70 kilometer atau sebuah peluru berpandu dengan jarak 300 kilometer.
Ia sudah digunakan 19 buah negara termasuk di Iraq dan Syria untuk menentang kumpulan militan Daesh.
Sistem senjata itu membolehkan tentera AS melancarkan serangan yang tepat walaupun berdepan cuaca buruk.
Pada Mac tahun lalu, Warsaw menandatangani kontrak pembelian sistem antipeluru berpandu Patriot buatan AS yang bernilai AS$4.75 bilion.
Kerajaan Poland menggesa AS agar membuka pangkalan tentera kekal di negaranya walaupun tentera AS sudah ditempatkan di sana untuk menyertai operasi Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (Nato).
Bagaimanapun AS pada September 2018 berkata Poland masih belum bersedia untuk menerima pangkalan tentera kekal ekoran kekurangan ruang untuk tentera AS menjalani latihan.
Dua tahun lalu, Nato membuka hab antiperisikan di Poland untuk mengembangkan keupayaan perisikan tentera pakatan susulan ketegangan dengan Rusia ekoran krisi s Crimea pada 2014.
Tentera pakatan yang diketuai AS juga mengukuhkan kehadiran tentara di timur Eropah dengan menempatkan empat batalion antarabangsa bagi menyekat kemungkinan pengaruh Rusia di rantau itu. – AFP, 11 Februari, 2019.
Komen