Arab Saudi tidak tahu di mana mayat Khashoggi


Wartawan Arab Saudi Jamal Khashoggi yang lantang mengkritik Putera Mahkota Mohammed Salman dibunuh pada 2 Oktober dan mayatnya dikerat. – Gambar fail EPA, 11 Februari, 2019.

RIYADH tidak tahu lokasi mayat wartawan Jamal Khashoggi walaupun sepasukan rakyat Arab Saudi yang didakwa membunuhnya sudah ditahan, kata pegawai Kementerian Luar negara itu dalam temu bual yang disiarkan semalam.

Mayat Khashoggi dikerat selepas dibunuh pada 2 Oktober tahun lalu di bangunan konsulat Arab Saudi di Istanbul, dan ia masih belum ditemui sehingga kini.

Menteri Luar Arab Saudi Adel al-Jubeir berkata pembunuhan itu dilakukan oleh pegawai negara itu “yang bertindak di luar bidang kuasa mereka” dan 11 individu didakwa melakukan jenayah itu.

Tetapi ketika ditanya di mana mayat wartawan berkenaan, beliau memberitahu program “Face the Nation” terbitan CBS: “Kami tidak tahu.”

Jubeir berkata pendakwa raya yang bertanggungjawab atas kes itu meminta bukti dari Turki tetapi tidak mendapat sebarang balasan.

Ditanya mengapa mereka yang ditahan tidak memberitahu di mana mayat itu, Jubeir menjawab: “Kami masih menyiasat.”

“Ada beberapa kemungkinan dan kami bertanya apa yang dilakukan dengan mayat itu, dan saya rasa siasatan berterusan dan kami jangka baka mengetahui kebenaran pada akhirnya.”

Jubeir ditemubual Jumaat lalu, pada hari sama Presiden Donald Trump tidak mengendahkan tarikh akhir bagi Kongres untuk melaporkan mengenai pembunuh Khashoggi, pengkritik lantang Putera Mahkota Mohammed Salman. – AFP, 11 Februari, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen