3 pengaman PBB terbunuh, helikopter terhempas di Sudan


Tiga pengaman PBB maut selepas helikopter dinaiki terhempas di wilayah pertikaian Sudan dan Sudan Selatan pada Sabtu. – Gambar AFP, 11 Februari, 2019.

SEBUAH helikopter tentera Ethiopia terhempas di kawasan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) di wilayah pertikaian antara Sudan dan Sudan Selatan, menyebabkan tiga kakitangan PBB terbunuh dan 10 penumpang cedera, kata PBB dalam satu kenyataan.

Kenyataan itu berkata helikopter berkenaan membawa 23 penumpang ketika terhempas pada Sabtu di kawasan Pasukan Keselamatan Interim PBB untuk Abyei (UNISFA).

“Seramai 10 penumpang cedera dengan tiga dalam keadaan kritikal,” katanya.

Helikopter MI-8 itu membawa tentera Ethiopia dari Kadugli di Sudan ke Abyei, yang direbut sejak Selatan Sudan memperoleh kemerdekaan pada 2011.

“Kami sedang menyiasat insiden ini,” kata ketua misi dan komander tentera UNISFA Jeneral Gebre Adhana Woldezgu.

Mayat pengaman Ethiopia berkenaan dibawa pulang ke Addis Ababa semalam untuk disempurnakan pada satu majlis dihadiri ratusan pegawai UNISFA, kata pasukan tentera dalam satu kenyataan berasingan.

Gebre turut memberi penghormatan terakhir kepada pengaman yang maut dengan meletakkan kalungan bunga dan mengiktiraf perkhidmatan pengaman PBB.

Ethiopia satu-satunya negara menyumbangkan tentera kepada UNISFA, dengan kira-kira 4,500 anggota bertugas di lapangan.

Majlis Keselamatan PBB memberi amaran situasi di Abyei dan sepanjang sempadan Sudan-Sudan Selatan terus mencetuskan ancaman kepada keamanan antarabangsa, dan mendesak dua negara itu untuk menunjukkan perkembangan positif untuk menanda dan mengawal sempadan. – AFP, 11 Februari, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen