KETUA Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) Christine Lagarde pada Ahad bertemu dengan Perdana Menteri Pakistan Imran Khan dan memberi jaminan kepadanya bahawa IMF bersedia membantu negaranya.
Mesyuarat itu berlangsung di luar Sidang Kemuncak Kerajaan Sedunia di Dubai, yang dihos oleh Emiriah Arab Bersatu, kata pejabat IMF dan Perdana Menteri Imran Khan.
“Saya tegaskan bahawa IMF bersedia untuk membantu Pakistan,” kata Lagarde dalam satu kenyataan selepas pertemuan dengan Khan.
Pasukan IMF melawat Pakistan pada bulan November lalu untuk membincangkan kemungkinan ikat jamin dengan para pegawai kerajaan Pakistan.
Bagaimanapun, rundingan tersebut berakhir tanpa apa-apa persetujuan, namun pegawai kerajaan mengatakan perbincangan masih dijalankan berhubung kemungkinan ikat jamin.
Pakistan telah berunding dengan IMF berulang kali sejak akhir 1980-an akibat menghadapi krisis imbangan pembayaran.
“Saya juga menekankan bahawa dasar-dasar tegas dan pembaharuan ekonomi yang kukuh akan membolehkan Pakistan memulihkan daya tahan ekonominya dan meletakkan asas bagi pertumbuhan yang lebih kukuh dan lebih inklusif,” kata Lagarde, menyifatkan pertemuan itu sebagai “baik dan membina”.
Pakistan negara peminjam IMF sejak tahun 1980-an menerima ikat jamin IMF kali terakhir pada tahun 2013 bagi hutang bernilai ASD6.6 bilion. – AFP, 10 Februari, 2019.
Komen