SEPANJANG tujuh tahun berniaga berhampiran kediaman Najib Razak, wanita itu tidak pernah melihat rumah agam itu sunyi daripada apa-apa aktiviti.
Rahimah Harun, 46, berkata, ada saja acara diadakan di kediaman yang juga pusat khidmat ahli Parlimen Pekan itu seperti menghulurkan bantuan kepada golongan memerlukan.
Oleh itu, sukar baginya untuk mempercayai bahawa pemimpin yang begitu pemurah itu mula dibicarakan esok atas tuduhan rasuah, pecah amanah, salah guna kuasa dan mengubah wang haram.
“Saya tidak terkejut bila dengar Najib akan dibicarakan. Sebab sebelum ini banyak berita keluar. Tapi saya rasa beliau tidak bersalah dan tuduhan itu tidak benar,“ katanya kepada The Malaysian Insight.
Wanita kelahiran Pekan itu juga berpendapat Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad sengaja mengheret Najib ke mahkamah untuk mencari kesalahan wakil rakyat yang dihormatinya itu.
Rahimah berkata Najib merupakan pemimpin yang sangat disegani penduduk Pekan kerana jasanya di kawasan itu.
“Banyak sumbangan dan pembangunan beliau lakukan. Masa jadi menteri besar, perdana menteri dan ahli Parlimen.”
Perkara itu dipersetujui seorang lagi penduduk, Johari Mohamad, 59, yang berpendapat ramai rakyat Pekan terhutang budi kepada pemimpin itu.

Katanya, walau mahkamah mensabitkan kesalahan ke atas Najib, namun penduduk Pekan akan tetap menyokong pemimpin itu.
“Najib ibarat keluarga, beliau orang sini, bapanya pemimpin yang sangat dihormati. Kalau beliau bersalah pun takkanlah kita nak buang ahli keluarga kita.
“Setiap manusia tidak akan sempurna. Tapi saya takkan percaya beliau mencuri duit 1Malaysia Development Berhad melainkan kita nampak dengan mata sendiri ada duit itu dan Najib ambil dengan tangan dia.”
Najib didakwa dengan 42 tuduhan berhubung kesalahan rasuah, mengubah wang haram, salah guna kuasa dan pecah amanah.
Khamis lalu, Peguam Negara Tommy Thomas memindahkan tiga pertuduhan ke atas Najib dari Mahkamah Tinggi ke Mahkamah Majistret.
Perbicaraan Najib pada Selasa ini mencatatkan sejarah kerana buat pertama kalinya bekas perdana menteri dibicarakan di mahkamah.
Ia tidak disangka sama sekali oleh warga Pekan, seperti seorang ibu tunggal Yusnani Mohd Yusof, 40 tahun yang sedih melihat wakil rakyat mereka diheret ke mahkamah.
“Saya tak boleh nak bayangkan, bekas perdana menteri kena duduk di mahkamah seolah-olah beliau bersalah.
“Memang rasa sebak, saya sedih tengok keadaan beliau sekarang. Saya lihat badan beliau pun makin susut,” katanya.

Yusnani berkata walau sukar untuk menerima kenyataan itu, wanita itu percaya Najib akan dapat membuktikan dirinya tidak bersalah di mahkamah.
Namun pandangan dari golongan muda Pekan pula berbeza sama sekali.
Seorang pegawai eksekutif yang bekerja di Kuala Lumpur, Lailatul Fahmi Abu Bakar berkata, golongan muda sepertinya melihat tuduhan itu menjejaskan kewibawaan Najib.
“Rata- rata kawan saya yang umur 30 hingga 40-an, mereka ada perspektif lain dan mahu kerajaan ambil tindakan ke atas kes 1MDB ini.
“Bagi kami Najib sudah tidak layak dan kredibilitinya sebagai pemimpin sudah tercalar,” kata Lailatul Fahmi, 30.
Lailatul mengakui sentimen itu hanya wujud di kalangan anak muda dan berpendapat orang lama di Pekan mereka masih menyokong Najib sepenuhnya. – 11 Februari, 2019.

Komen