Pertempuran pasukan AS dan Daesh semakin tegang di Syria


Penduduk di wilayah timur Syria melarikan diri dari kawasan itu ketika pertempuran antara pasukan SDF dan Daesh semakin tegang. – Gambar AFP, 10 Februari, 2019.

PASUKAN bersenjata yang disokong Amerika Syarikat kini terjerumus dalam pertempuran sengit ketika mereka berusaha menekan saki baki terakhir kumpulan Daesh di timur Syria pada hari Ahad, kata seorang pemerhati perang.

Pasukan Demokratik Syria (SDF), yang disokong gabungan Amerika Syarikat, mengumumkan misi terakhir untuk menghapuskan saki baki jihadis di sempadan Iraq pada hari Sabtu, selepas tempoh seminggu yang diberikan bagi membolehkan orang awam melarikan diri dari kawasan itu.

Badan Pemantau Syria Bagi Hak Asasi Manusia melaporkan pertempuran dahsyat antara kedua pihak pada pagi Ahad, yang menyaksikan pesawat-pesawat pasukan gabungan AS dan artileri tanpa henti mengebom kedudukan jihadis.

“Pertempuran sedang berlangsung, terdapat pertempuran hebat pagi ini, dengan periuk api di mana-mana,” kata Rami Abdel Rahman, ketua pemantau perang yang berpangkalan di Britain.

SDF melancarkan serangan bagi mengusir Daesh dari wilayah timur Deir Ezzor pada bulan September.

Gabungan yang diketuai kelompok Kurdi itu berjaya memecahkan kubu Daesh di wilayah yang dikuasai kempulan jihad itu sehingga kumpulan itu kini hanya menguasai lebih kurang empat kilometer persegi (satu batu persegi) di bahagian tebing timur sungai Furat.

Lebih 600 anggota Daesh masih berada di dalam kawasan itu, dan kebanyakan mereka terdiri daripada warga asing, menurut jurucakap SDF Mustafa Bali.

Sejak pertempuran itu semakin tegang pada bulan Disember, lebih daripada 37,000 orang, kebanyakannya isteri dan anak-anak jihadis, melarikan diri ke kawasan padang pasir yang dikawal SDF, kata badan pemantau itu. – AFP, 10 Februari, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen