MENTERI Kesihatan Dr Dzulkefly Ahmad berharap para setiausaha politik menteri Kabinet diberi masa untuk membuat perisytiharan harta kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Beliau percaya perisytiharan itu bukan perkara sukar untuk dijalankan kerana hanya melibatkan urusan pentadbiran.
Ketika ditanya, Dr Dzulkefly berkata beliau tidak pasti sama ada setiausaha politiknya Syed Azman Syed Ahmad Nawawi sudah membuat pengisytiharan harta atau tidak.
“Saya tidak perasan (perisytiharan Syed Azman). Minta maaf saya boleh tanya nanti. Tetapi perkara macam ini urusan pentadbiran yang saya rasa bukanlah sukar untuk kita tangani.
“Cumanya berikan masa kepada mereka. Saya rasa perkara ini dalam proses. Saya harap mereka juga akan membuat pengisytiharan harta,” katanya.
Ahli Parlimen Kuala Selangor itu juga berkata, beliau percaya semua pegawai berkenaan sedia berbuat demikian dalam masa terdekat.
“Mungkin tidak diberikan tumpuan untuk mereka membuat pengisytiharan itu.
“Tetapi saya yakin dalam masa terdekat semua mereka akan bersedia untuk membuat pengistiharan harta,” katanya.
Beliau bercakap kepada media selepas melancarkan kempen Medical4Gaza di Econsave Alam Jaya Puncak Alam hari ini.
Dzulkefly mengulas laporan Berita Harian yang mendakwa 12 orang setiausaha politik menteri kabinet dan sembilan ahli Parlimen kerajaan masih gagal membuat pengisytiharan harta.
Pegawai berkenaan sepatutnya menyerahkan perisytiharan tersebut sebelum 31 Oktober tahun lalu.
Pengisytiharan harta merupakan antara dasar awal yang dipersetujui kerajaan sebagai bukti ketelusan kepimpinan kerajaan Pakatan Harapan.
Menurut laporan itu, SPRM menyatakan semua 12 pegawai berkenaan belum mengisytiharkan harta itu namun ia bukan kewajipan kerana ia adalah program sukarela kerajaan.
Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM, Shamsun Baharin Mohd Jamil yang dipetik dalam laporan itu berkata, mereka tidak boleh bertindak atas kegagalan pegawai itu mengisytihar harta.
“Bukan tugas SPRM untuk menghubungi mereka kerana pengisytiharan harta ini satu program sukarela yang dijanjikan kerajaan.
“Di pihak SPRM, tiada apa boleh dilakukan terhadap kegagalan mereka itu kerana ia bukan perkara yang melanggar undang-undang kecuali janji yang dibuat,” katanya. – 10 Februari, 2019.
Komen