DR Mahathir Mohamad perlu memutuskan kedudukan menteri dan timbalan menteri yang memiliki kelayakan akademik yang meragukan, kata Khalid Samad.
Menteri Wilayah Persekutuan itu berkata, pemilihan anggota kabinet adalah prerogatif perdana menteri dan sebarang keputusan untuk menggugurkan mereka juga bergantung kepada beliau.
“Ini adalah kabinet beliau, beliau yang melantiknya. Jadi terpulang kepada perdana menteri untuk putuskan,” katanya kepada pemberita hari ini apabila ditanya sekiranya menteri dan timbalan menteri yang memiliki kelayakan akademik meragukan perlu meletakkan jawatan.
Beberapa menteri dan timbalan menteri menjadi tumpuan susulan dakwaan di media sosial yang mereka memiliki kelayakan akademik meragukan.
Pemimpin pertama yang menjadi tumpuan adalah Timbalan Menteri Luar Marzuki Yahya yang sebelum ini mendakwa beliau memperoleh ijazah daripada Universiti Cambridge United Kingdom menerusi program pengajian jarak jauh, kemudiannya mengakui ia sebenarnya dari Cambridge International University Amerika Syarikat.
Institusi Amerika itu turut menjadi perhatian, dengan peningkatan keraguan bahawa ia merupakan “kilang diploma” yang menganugerahkan ijazah dengan hanya sedikit atau tiada langsung pembelajaran.
Cambridge International University, dii laman webnya mengakui ia tidak diakreditasi.
Laman itu turut menyatakan, universiti berkenaan menawarkan 150 program pengajian, tetapi hanya memiliki 12 ahli fakulti dan 13 ahli fakulti tambahan yang tersenarai.
Semalam, Menteri Besar Johor, Osman Sapian enggan mengulas pertanyaan berhubung kelayakan akademiknya.
Osman turut dikecam selepas tidak menjawab pertanyaan media berhubung diploma dan ijazah perakaunan yang didakwa diperoleh daripada Universiti Putra Malaysia.
Sementara itu, menteri Mohamad Sabu dan Zuraida Kamaruddin menafikan mereka merupakan lulusan universiti dan memalsukan kelayakna akademik mereka.
Mohamad yang juga dikenali sebagai Mat Sabu memeritahu portal berita bahawa beliau tidak pernah bergraduat daripada Institut Teknologi Mara (ITM) kerana dibuang kerana aktif sebagai aktivis.
Zuraida pula menafikan pernah mendakwa dirinya merupakan lulusan National University of Singapore. – 10 Februari, 2019
Komen