SEORANG kolonel tentera darat Venezuela yang aktif bertugas yang merupakan seorang doktor perubatan pasukan tentera menarik balik sokongan kepada Presiden Nicolas Maduro dan menyokong pemimpin pembangkang Juan Guaido.
“90% kami dalam pasukan tentera sangat tidak gembira,” kata Kolonel Ruben Paz Jimenez dalam video dikeluarkan semalam.
“Kami digunakan mereka untuk pastikan mereka terus berkuasa.”
Beliau menggesa rakan tenteranya untuk membenarkan bantuan kemanusiaan masuk ke Venezuela. Bantuan kemanusian dihantar AS kini berada di sempadan negara itu dengan Cucuta, Colombia.
Maduro berikrar menghalang bantuan itu masuk, menyifatkannya sebagai pemula campur tangan AS.
Minggu lalu, Jeneral Tentera Udara Francisco Yanez juga menarik balik sokongan kepada Maduro. Kuasa tentera adalah kuasa penting menyokong Maduro terus berkuasa di Venezuela.
Guaido yang mengisytiharkan dirinya sebagai pemangku presiden, pada Jumaat lalu, tidak menolak kemungkinan membenarkan campur tangan AS bagi membantu menyingkirkan Maduro dan membolehkan bantuan kemanusian masuk.
Ketua pembangkang itu melancarkan usaha menyingkirkan Maduro bulan lepas, mengisytiharkan dirinya sebagai presiden sementara, tindakan yang diiktiraf oleh AS dan lebih 50 negara lain, termasuk 20 kuasa Kesatuan Eropah.
Di bawah pentadbiran Maduro, Venezuela negara kaya minyak itu berdepan keruntuhan ekonomi, mengheretnya ke dalam kancah hiperinflasi, kelembangan dan terputusnya bekalan asas seperti makanan dan ubat-ubatan memaksa ratusan ribu rakyatnya melarikan diri sehingga mencetus konflik sempadan di Amerika Latin. – AFP, 10 Februari, 2019.
Komen