“HEI ayam hitam anak tumpangan jin tunggal penjaga kiri kanan depan belakang, aku seru akan kamu dengan ihsan pada si pesakit ini. Pindahkan sakit pada paru-parunya ke ayam hitam ini sebagai korban. Berkat doa baginda Rasul!”
Ini antara temberang nyata dukun dan bomoh. Bukan saja kanser, segala 36 jenis penyakit kronik dan kritikal boleh sembuh sekelip mata dengan mengorbankan seekor ayam jantan warna hitam.
Lebih lucu – itulah ayam jantan yang sama. Diulang guna sebagai korban konon ritual magis dalam konsep memindahkan penyakit mangsa pada seekor ayam.
Ini realiti. Mitos dan magis dalam rawatan kanser secara tradisional yang popular hari ini. Malah, bukan saja ayam, kanser boleh dipindahkan ke buah tembikai!
Selain itu, ada bacaan doa serta amalan-amalan aneh lain, yang digunakan untuk merawat penyakit kritikal terutama kanser.
Trend alternatif ini turut dipopularkan perawat Islam bersembunyi di balik jubah dan agama.
Isu dukun dan perawat Islam mampu menggunakan magis dan air jampi, kini sampai ke tahap mencipta jenaka yang boleh menitiskan air mata.
Mangsa pula bukan sembarangan. Ada tahap tokoh korporat, profesional kelas A, sampailah ke ahli politik cetek akal.
Semua terpegun dan boleh percaya pada sulap murahan ini.
Kalau yang berakal Oxford dan Cambridge pun terkena dan taksub, apalagi orang marhaen.
Perawat yang bertopengkan Islam turut mengambil kesempatan. Pesakit dimomokkan dengan doa.
Peliknya, doa dimagiskan sebagai membunuh elemen kanser dalam tubuh. Malah, mengaitkan kanser sebagai elemen gangguan jin.
Jadi, jenuhlah doa dan jampi ini dipromosi sebagai rawatan cara Islam.
Dalam keadaan emosi yang mental yang lemah setelah disahkan kanser, pesakit yang putus asa mudah dimanipulasi.
Apa lagi kalau kanser sudah tahap ketiga atau keempat.
Selalunya, bagi yang terkejut dan takut pada rawatan klinikal, minda yang gelap kerana terkejut dan tekanan putus asa, membuatkan rawatan alternatif jadi pilihan utama.
Kuasa magis dan mistik dianggap sebagai sains dalam rawatan Islam.
Itu realiti yang menyebabkan bomoh dan penjubah yang menjual doa mengambil kesempatan.
Jadi lembu sembelihan
Apabila disahkan kanser atau memiliki tumor kritikal dalam kepala, atau kegagalan buah pinggang serta pelbagai masalah kesihatan yang sukar dikenal pasti rawatan klinikal, orang cerdik pun sekelip mata boleh jadi bodoh!
Bagi si bomoh (yang sekarang 100% bertopengkan perawat Islamik), mereka memang menantikan mangsa jenis ini.
Sebaik saja mangsa melangkah masuk ke pusat rawatan dan mengaku sakit, penyangak rawatan alternatif ini mula menyihir kehadiran mereka dengan elemen magis dan mistik.
Konon, inilah cara Islam menghapuskan jin punca penyakit.
Kalau latar mangsa ialah VIP, bagi bomoh dan perawat palsu, ia umpama mendapat lembu untuk disembelih.
Golongan VIP akan mengeluarkan apa saja kos, asalkan bomoh dan perawat menjanjikan harapan sembuh.
Ini pembohongan dahsyat ciptaan perawat dan bomoh dan sifatnya sudah melepasi tahap menganiaya.
Bukan setakat dukun yang bermantera, ustaz yang kononnya menggunakan kaedah agama turut menipu dengan cara 2×5.
Sikap terdesak mangsa yang enggan menerima hakikat disahkan mengidap kanser serta diburukkan lagi dengan sokongan keluarga untuk mencuba rawatan alternatif, punca kesyirikan.
Sikap hilang pedoman antara punca bomoh dan ustaz bertopeng agama mudah menjadi penyangak serta meraih untung untuk segera kaya-raya.
Di Sepang, Selangor, mitos rawatannya ialah memindah kanser tubuh manusia ke tubuh seekor ayam.
Hanya dengan caj pengeras RM500 ke RM1,000, kanser tahap empat masih dapat diselamatkan.
Kaedah memindahkan kanser ke haiwan ternakan ini sangat mudah.
Bomoh hanya mencipta ritual untuk menarik kanser dan memindahkan pada seekor ayam kampung.
Namun, pesakit diminta bersabar kerana memusnahkan jin pembawa kanser tidak selesai dalam 24 jam.
Mangsa akan diminta kerap datang untuk proses rawatan dan hanya akan pulih seperti sedia kala setelah taat pada ritual perubatan ciptaan mereka.
Di utara Kedah, seorang bomoh hebat, merawat pesakit kanser paru-paru dengan cara lebih mudah.
Ritual bermula dengan magis mengeluarkan paru-paru pesakit secara ghaib dan kemudian menjerit: “Paru-paru satu!”
Tangan bomoh diangkat ke udara; seperti menerima kiriman paru-paru dari alam ghaib dan kemudian menekapkannya ke dada pesakit.
Sekelip mata semuanya selesai: “Ok… yang rosak kita dah buang dan sudah diganti baharu.”
Ini antara pembohongan paling tragik dalam dunia perubatan tradisional.
Tanpa sebarang kawalan undang-undang, rawatan memindahkan kanser dan penyakit kronik lain ke tubuh haiwan, buah-buahan atau alat ganti alam ghaib jelas menuju penipuan serta syirik!
Di utara Kedah, rawatan membeli apa saja organ tubuh dari dunia ghaib sudah dua dekad diamalkan.
Pesakit berbaris sepanjang masa. Wang dibayar tanpa had bagi mendapatkan rawatan yang penuh dusta dan dosa ini.
Anehnya, kegiatan bomoh palsu dan penipu berjubah Islam ini berjalan tanpa sebarang kawalan undang-undang.
Kehidupan bomoh ini sebagai perawat 36 penyakit kritikal lebih disukai kerana kosnya murah dan tidak menyakitkan.
Tanpa terapi kimo atau pembedahan, ia mencipta alternatif kos bagi pesakit kurang mampu.
Rakyat wajar isytihar perang
Rakyat Malaysia wajar memerangi mitos dan ritual serta informasi tidak benar dan salah faham yang menyebabkan pesakit enggan menjalankan rawatan penyakit kanser.
Menteri Kesihatan, Dr Dzulkefly Ahmad menegaskan, masyarakat perlu menolak kepercayaan atau terapi tertentu yang tiada bukti keberkesanan merawat kanser.
Kanser kini penyebab kedua tertinggi kematian rakyat Malaysia. Dianggarkan 60% kanser dikesan lewat dan gagal dalam mendapatkan rawatan awal.
Selalunya, kanser sudah merebak ke tahap ketiga dan keempat apabila dikesan secara klinikal.
“Kementerian Kesihatan menyediakan perkhidmatan saringan untuk empat jenis kanser iaitu payudara, serviks, kolorektal dan oral di klinik kesihatan.
Manakala saringan bagi individu berisiko tinggi untuk kanser tertentu seperti hati, prostat dan nasofarinks (terletak antara tekak dan hidung) pula boleh dilakukan di hospital kerajaan.
“Kerajaan juga memperkenalkan Skim Perlindungan Nasional B40 (mySalam) dan Skim Peduli Kesihatan (Peka B40) bertujuan untuk memperluaskan akses kepada perkhidmatan kesihatan diperlukan dan mengurangkan beban kos rawatan pelbagai penyakit termasuk melibatkan kanser,” katanya dalam kenyataan sempena Hari Kanser Sedunia baru-baru ini.
Menurut data, tiga jenis kanser tertinggi dialami lelaki ialah kanser kolorektal 16.4%, paru-paru (15.8%) dan nasofarinks (8.1%).
Manakala wanita pula, payudara (32.1%), kolorektal (10.7%) dan serviks (7.7%).
Selain kempen rawatan awal, perang perlu dilancarkan terhadap bomoh dan pemakai topeng rawatan Islam.
Kanser dan 35 jenis lagi penyakit kritikal kini menjana pendapatan besar kepada penyangak rawatan alternatif.
Bomoh dan perawat bertopengkan Islam kini adalah kanser sebenar pada masyarakat dan perlu segera diperangi. – 10 Februari, 2019.
* Zainal Rashid Ahmad ialah wartawan dan penulis sastera yang telah menghasilkan antaranya novel Hikayat Tanah Jauh (2015) dan kumpulan cerpen al-Kisah (2012), Yang Tercinta (2012), Empunya Hikayat (2014), Magis Kota (2016), Pop Urban (2017), dan kumpulan puisi Sepi Itu Mati (2016) dan Orang Sepi Pergi ke Gurun (2018). Beliau memenangi 38 hadiah sastera.
* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.
Komen