TURKI semalam mengecam layanan China kepada etnik Islam Uighur, menyifatkannya sebagai “memalukan kemanusiaan”, pihak terbaru yang lantang mengkritik tindakan kem tahanan ke atas minoriti itu.
“Pengasingan sistematik pihak berkuasa China kepada Uighur Turki adalah memalukan kemanusiaan,” kata jurucakap Kementerian Luar Turki Hami Aksoy dalam satu kenyataan.
Wilayah Xinjiang, China, di mana kebanyakan etnik Uighur tinggal seringkali dikawal ketat sejak beberapa tahun lalu, selepas keganasan antara etnik tercetus.
Hampir sejuta Uighur dan minoriti lain berbahasa Turki di China dilaporkan ditahan dalam “kem pendidikan semula”, menurut pakar PBB.
Beijing berkata “pusat pendidikan vokasional” itu adalah untuk membantu etnik minoriti daripada terjebak dalam keganasan dan mengintegrasi mereka dalam masyarakat.
Tetapi, pengkritik berkata China mahu mengasingkan populasi minoriti Xinjiang dan memberi tekanan kepada amalan budaya dan agama yang bertentangan dengan ideologi komunis dan budaya dominan Han.
“Bukan lagi rahsia yang lebih sejuta orang Uighur Turki- yang terdedah kepada penahanan meragukan- diseksa dan dipaksa ideologi politik dalam pusat tahanan dan penjara,” kata Aksoy dalam kenyataan itu.
“Uighur yang tidak ditahan dalam kem tahanan juga dibawah tekanan hebat,” tambahnya.
Turki mendesak masyarakat antarabangsa dan Setiausaha Agung PBB Antonio Guterres “untuk mengambil tindakan berkesan menamatkan tragedi kemanusiaan di wilayah Xinjiang.”
Kebanyakan negara Islam tidak lantang bersuara dalam isu tersebut, kerana China adalah rakan dagang yang utama.
Aksoy berkata Turki juga baru mengetahui tentang kematian pemuisi dan pemuzik Uighur, Abdulrehim Heyit dalam tahanan.
“Kami berasa kesal dan sedih sekali yang pemuisi bermaruah Abdurehim Heyit, yang dijatuhi hukuman penjara lapan tahun kerana karyanya, meninggal pada tahun kedua dipenjarakan,” katanya.
“Kejadian tragis ini seterusnya menguatkan lagi reaksi Turki kepada pencabulan hak asasi yang serius di wilayah Xinjiang.” – AFP, 10 Februari, 2019.
Komen