AMERIKA SYARIKAT sudah berkongsi draf resolusi mendesak bantuan antarabangsa dihantar ke Venezuela dan mengadakan pilihan raya presiden dengan sekutunya dalam Majlis Keselamatan PBB.
Walaupun tiada tarikh ditetapkan lagi untuk mengundi draf dikeluarkan Amerika itu, dan rundingan masih berjalan, Rusia besar kemungkinan akan menggunakan kuasa veto mereka untuk menyekat usaha itu sebagai sokongan kepada rejim Nicolas Maduro, kata diplomat.
Salinan draf itu yang diperolehi AFP semalam, menyatakan “sokongan penuh kepada Dewan Negara sebagai satu-satunya institusi dipilih secara demokratik di Venezuela.”
Pengerusinya, Juan Guaido mengisytiharkan dirinya sebagai presiden sementara Venezuela, mencabar kesahan pentadbiran Maduro.
Draf itu menekankan “kebimbangan mendalam tentang keganasan dan penggunaan kuasa melampau oleh pasukan keselamatan Venezuela terhadap penunjuk perasaan tidak bersenjata, aman.”
Ia juga “mendesak kepada permulaan proses politik serta merta yang menuju ke arah pilihan raya presiden yang bebas, adil dan berwibawa, dengan pemerhati antarabangsa, selaras dengan Perlembagaan Venezuela.”
Draf resolusi itu juga memohon Setiausaha Agung PBB Antonio Guterres “menggunakan pejabatnya” untuk mengadakan pilihan raya itu.
Ia juga “menekankan keperluan menghalang situasi kemanusiaan di Venezuela bertambah buruk dan membuka akses dan penghantaran bantuan kepada semua yang memerlukan dalam wilayah Venezuela.”
Pada Jumaat, Moscow mencadangkan teks alternatif resolusi untuk versi Amerika, kata diplomat.
Bantuan kemanusiaan yang dihantar AS sudah tiba di banada Cucuta, Colombia yang bersempadan dengan Venezuela, tetapi Maduro enggan memberikan kebenaran masuk.
Guaido, pada Jumaat, berkata beliau bersedia mengambil semua langkah perlu, termasuklah membenarkan campur tangan AS untuk mendesak Maduro berundur dan mengatasi masalah kemanusiaan yang berlaku di negara itu. – AFP, 10 Februari, 2019.
Komen