JUMLAH korban bangunan apartment runtuh di Istanbul naik kepada 21 orang semalam, ketika Presiden Recep Tayyip Erdogan berkata pihak berkuasa ada “pengajaran untuk belajar” daripada kejadian tersebut.
Bangunan lapan tingkat di daerah Kartal yang terletak di sebelah Asia bandar itu runtuh pada Rabu, punca kejadian masih belum dipastikan.
Erdogan, melawat tempat tragedi semalam berkata: “Kita ada banyak pengajaran yang perlu diambil daripada kejadian ini. Kita akan mengambil langkah perlu.”
Sementera itu, Menteri Dalam Negeri Suleyman Soylu memberitahu wartawan yang jumlah kematian meningkat kepada 21 orang dan 14 lagi cedera.
Jumlah maut dikemas kini sebanyak tiga kali dalam masa sehari semalam.
“Kami menjangkakan terdapat 35 orang yang terperangkap di bawah runtuhan dan kami sedang mencari semuanya,” katanya dan menekankan yang operasi mencari dan menyelamat akan diteruskan.
Berpuluh orang pekerja penyelamat berusaha memindahkan sisa runtuhan menggunakan jentolak besar.
Presiden Erdogan juga melawat hospital, bertemu mangsa yang terselamat, sebelum menghadiri upacara pengebumian sembilan beranak daripada satu keluarga yang maut dalam tragedi itu.
Pihak berkuasa berkata 43 orang didaftarkan sebagai penghuni bangunan itu.
Menteri Alam Sekitar Murat Kurum, yang menemani Erdogan, berkata bangunan itu menempatkan 14 apartment dan tiga kedai.
Media Turki melaporkan tiga daripada lapan tingkat bangunan itu dibina secara haram- amalan biasa dalam kota berpenduduk sekitar 15 juta orang itu.
Runtuhan itu membangkitkan kembali kritikan kepada kerajaan untuk mengampunkan mereka yang dituduh membina bangunan secara haram- langkah diumumkan menjelang pilihan raya daerah Mac ini.
Jurutera dan arkitek berulang kali memberi amaran risiko bahaya tingkat tambahan yang dibina, kata mereka ia melemahkan struktur bangunan dan mendatangkan bahaya besar ketika gempa bumi.
Sebuah bangunan empat tingkat runtuh di Istanbul tahun lepas selepas ribut kencang. Pada Januari 2017, dua maut apabila sebuah bangunan di kawasan kejiranan kelas pekerja kota raya itu runtuh. – AFP, 10 Februari, 2019.
Komen