FELDA Sungai Tengi akan menjadi medan ujian projek perintis yang menyasarkan untuk meningkatkan pendapatan peneroka sebagai sebahagian daripada usaha kerajaan baharu membawa perubahan kepada skim yang didakwa berdepan tadbir urus yang buruk oleh pentadbiran terdahulu.
Program perintis itu, yang akan bermula pada April, akan menyaksikan skim bagi peneroka Felda untuk menanam tanaman yang cepat mengeluarkan hasil seperti buah-buahan dan sayur-sayuran bagi menambah pendaoatan mereka selepas terkesan dengan kejatuhan harga minyak sawit global, kata Pengerusi Pertubuhan Peladang (LPP) Mazlan Aliman.
Membawa perubahan kepada skim Felda, yang mempunyai hampir sejuta individu dalam 112,000 keluarga peneroka, merupakan janji utama yang dibuat oleh Pakatan Harapan pada Pilihan Raya Umum ke 14 dan memberikan gabungan itu sokongan daripada anak peneroka, yang juga dikenali sebagai peneroka generasi kedua.
Pengundi luar bandar, termasuk peneroka Felda, menjadi tumpuan utama pada Pilihan Raya Umum ke 15 dan kemampuan PH untuk memenangi mereka kini bergantung kepada bagaimana ia berjaya meningkatkan ekonomi luar bandar yang berasaskan pertanian dan tanaman seperti kelapa sawit dan getah.
Peneroka Felda merupakan blok undi yang penting dalam 54 kerusi Parlimen, yang sehingga PRU14, dianggap sebagai kubu kuat untuk bekas pakatan pemerintah Barisan Nasional. PH berjaya memenangi 19 daripada 54 kerusi tersebut, kerana kemarahan generasi kedua berhubung salah tadbir urus BN di Felda.
Projek tanaman campuran juga bertujuan untuk mewujudkan peluang pekerjaan bagi peneroka generasi kedua terutamanya dalam skop Felda pedalaman yang tidak mempunyai industri pembuatan atau perkhidmatan, kata Mazlan, yang juga peneroka generasi kedua dari Kulai, Johor.
“Ini kerana walaupun harga minyak kelapa sawit tinggi seperti pada harga RM400 se tan (untuk tandan buah segar), keluarga peneroka masih berjuang untuk memenuhi keperluan kerana kos sara hidup yang tinggi,” kata Mazlan, yang turut mengetuai Majlis NGO Felda.
LPP dan majlis berkenaan menyasarkan peneroka generasi kedua dan terutama suri rumah untuk menjadi pemacu utama inisiatif itu, katanya.
“Wanita Felda, terutamanya suri rumah, biasanya mempunyai masa lapang antara jam 8.30 pagi hingga 11.30 pagi. Masa ini boleh digunakan untuk menanam tanaman tambahan dan kebun komuniti.

Sebagai permulaan, peneroka di Sungai Tengi akan menanam tanaman seperti pisang dan nanas yang dapat dituai dalam tempoh empat hingga enam bulan.
“Sekiranya wanita dan lelaki bekerja menjual tanaman ini, ia boleh menghasilkan pendapatan yang mencukupi untuk menampung belanja dapur bulanan mereka.”
Bukan idea baru
Ketika pentadbiran BN, peneroka Felda telah cuba menanam tanaman tambahan itu di atas tanah mereka sendiri seluas 10 hektar tetapi ianya tidak dibenarkan oleh agensi yang ditugaskan untuk mengawasi ladang-ladang.
“Dalam setiap skim, ada peneroka yang cuba menanam tanaman tambahan di tanah mereka dan di tanah rizab skim yang tidak digunakan,” kata Mazlan.
Tetapi permohonan mereka ditolak oleh pengurusan Felda yang merasakan bahawa skim itu perlu memberi tumpuan hanya pada kelapa sawit atau getah, seperti yang ditetapkan Akta Kumpulan Penempatan Berkelompok, kata Mazlan.
“Pada masa lalu, beberapa peneroka telah melakukannya dan menanam pisang sebagai contoh hanya untuk melihat pegawai Felda masuk dan memusnahkan anak benih mereka.”
Tetapi di bawah pemerintahan baru, peraturan-peraturan ini telah dilonggarkan kerana pentadbiran menyedari bahawa peneroka tidak boleh bergantung semata-mata kepada minyak sawit dan getah, yang harganya tidak menentu.
Penganalisis pasaran dan Kementerian Industri Utama berkata, harga minyak sawit mentah (MSM) turun ke paras terendah dalam tempoh empat tahun berikutan masalah bekalan dunia dan import rendah dari negara-negara utama seperti India.
Pada 2018, harga purata MSM merosot hampir 20% atau RM551 kepada RM2,232 daripada RM2,783 pada 2017, menurut Kementerian Industri Utama.
Projek tanaman makanan tambahan adalah sejajar dengan apa yang dikatakan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad baru-baru ini bahawa petani, penanam kelapa sawit dan penanam getah tidak lagi bergantung kepada satu tanaman untuk mendapatkan pendapatan. [http://english.astroawani.com/malaysia-videos/tanaman-kontan-mampu-tampung-kejatuhan-harga-sawit-getah-pm-362120]
Mazlan berkata walaupun projek perintis hanya akan bermula di Felda Sungai Tengi, LPP sudah menerima banyak permohonan dari penempatan lain yang berminat untuk memulakan ladang berskala kecil mereka sendiri.
Malah kami (LPP) mendapat permintaan daripada FGV (Felda Global Ventures Holdings Berhad) untuk masuk dan membantu mereka membina projek pembiakan kambing dan lembu di ladang mereka sendiri,” kata Mazlan.
FGVH adalah sebuah syarikat swasta yang menguruskan ladang kelapa sawit di tanah seluas 335,000 hektar yang dimiliki oleh Felda. Tidak seperti skim Felda, ladang FGVH tidak mempunyai peneroka. – 10 Februari, 2019
Komen