SEORANG lagi pemimpin Pakatan Harapan didakwa menipu berhubung kelayakan akademiknya.
Menteri Besar Johor, Osman Sapian menerima kecaman selepas dilaporkan beliau tidak mengendahkan soalan media berhubung ijazah perakaunan yang didakwa diperoleh daripada Universiti Putra Malaysia (UPM).
Menurut The New Straits Times, Osman hanya tersenyum apabila ditanya pemberita mengenai perkara itu selepas majlis sambutan Tahun Baharu Cina di Kulai hari ini.
Semakan di laman web kerajaan Johor menunjukkan Osman memiliki ijazah dan diploma dalam bidang perakauan di universiti berkenaan.
Bagaimanapun, tidak dinyatakan bila sijil berkenaan diperoleh.
Kritikan di media sosial turut mendakwa tiada rekod Osman bergraduat daripada UPM.
Pengguna media sosial menyokong dakwaan mereka dengan paparan skrin yang menunjukkan nama Osman tiada dalam laman web rasmi universiti berkenaan.
Sementara itu, Sinar Harian melaporkan UPM sedang memeriksa rekodnya untuk melihat sama ada Osman adalah graduannya.
Osman merupakan pemimpin kedua Bersatu yang menjadi tumpuan berhubung latar belakang kelayakan akademik selepas Setiausaha Agung Bersatu Marzuki Yahya dikecam kerana memiliki ijazah yang meragukan.
Marzuki, yang sebelum ini berkata beliau memiliki ijazah daripada University of Cambridge United Kingdom menerusi program pengajian jarak jauh semalam mengakui ia sebenarnya daripada Cambridge International University, Amerika Syarikat.
Institusi Amerika sejak itu mula jadi perhatian, dengan keraguan berhhubung penganugrahan ijazah tanpa melibatkan proses pembelajaran sebenar.
Cambridge International University, di laman webnya, mengakui bahawa ia tidak diakreditasi.
Laman web itu mengatakan universiti berkenaan menawarkan 150 program, tetapi hanya 12 ahli fakulti dan 13 ahli fakulti tambahan yang disenaraikan. – 9 Februari, 2019
Komen