IMF beri amaran hutang awam negara Arab tinggi 


Pengarah Urusan IMF Christine Lagarde berkata hutang awam di kalangan negara-negara pengimport minyak Arab meningkat daripada 64% kepada 85% daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sepanjang sedekad sejak 2008.

TABUNG Kewangan Antarabangsa (IMF) pada Sabtu memberi amaran bahawa hutang awam di kebanyakan negara Arab naik mendadak sejak krisis kewangan global 2008, ekoran belanjawaan defisit yang berterusan.

“Malangnya, rantau ini masih belum pulih sepenuhnya dari krisis kewangan antarabangsa dan masalah ekonomi lain sepanjang dekad lalu,” kata Pengarah Urusan IMF Christine Lagarde.

“Antara pengimport minyak, (pertumbuhan) ekonomi telah meningkat, tetapi masih di bawah paras pra-krisis,” kata beliau pada Forum Fiskal Arab di Dubai.

Lagarde berkata hutang awam di kalangan negara-negara pengimport minyak Arab meningkat daripada 64% kepada 85% daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sepanjang sedekad sejak 2008.

Hampir separuh negara-negara ini mempunyai hutang awam melebihi 90% daripada KDNK, kata Lagarde.

Menurut beliau, hutang awam di kalangan pengeksport minyak - termasuk enam negara Majlis Kerjasama Teluk (GCC) - naik daripada 13% kepada 33% daripada KDNK akibat kemerosotan harga minyak kira-kira lima tahun lepas.

Lagarde juga berkata dalam dekad akan datang negara-negara pengeluar minyak perlu melihat kepada tenaga boleh diperbaharui, sejajar dengan Perjanjian Paris mengenai perubahan iklim, yang menetapkan pengurangan pelepasan gas rumah hijau.

IMF pada bulan lepas menurunkan ramalan pertumbuhan ekonominya bagi Arab Saudi dan rantau Timur Tengah serta Afrika Utara susulan kejatuhan harga minyak, pengeluaran rendah dan ketegangan geopolitik. – AFP, 9 Februari, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen