Jawatan TPM? Saya tidak tahu apa-apa, kata Azmin


Nabihah Hamid

Ini kerana beliau sedang menjalani rawatan di hospital pada minggu lalu, kataMenteri Hal Ehwal Ekonomi Mohamed Azmin Ali. – Gambar The Malaysian Insight oleh Najjua Zulkefli, 9 Februari, 2019.

MENTERI Hal Ehwal Ekonomi Mohamed Azmin Ali menolak desas-desus bahawa beliau akan dilantik menjadi timbalan perdana menteri.

Katanya, beliau tidak tahu menahu mengenai perkara itu kerana sedang menjalani rawatan di hospital pada minggu lalu.

Tegasnya, beliau juga akan fokus bersama kerajaan Pakatan Harapan untuk terus mentabdir meningkatkan ekonomi negara. 

“Saya tak tahu, masa itu saya kena bius. Saya dalam pembedahan selama 4 jam jadi saya tidak pasti apa yang berlaku di luar. 

“Tetapi tujuan saya kembali bertugas ialah untuk tumpu soal ekonomi negara dan semalam pun saya telah kembali bertugas untuk memastikan dapat dilaksanakan,” katanya.

Azmin juga berkata semua jemaah menteri perlu bekerja dalam satu pasukan bawah Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad untuk mentabdir negara. 

“Keadaan sekarang memerlukan semua pihak untuk bekerja satu pasukan bagi memulihkan ekonomi negara, mengurangkan kos sara hidup rakyat dan harga barangan,” katanya.

Beliau bercakap kepada wartawan selepas menghadiri satu jamuan pemimpin PKR bersama sayap Serikandi parti itu di Subang Jaya, Selangor hari ini. 

Dr Mahathir pada Rabu lalu turut menafikan beliau akan membuat rombakan Kabinet dan menegaskan akan kekal dengan barisan jemaah menteri sedia ada.

“Semua khabar angin tentang rombakan Kabinet hanya berita palsu. Saya akan kekal bersama Kabinet saya,” katanya.

Khabar angin itu tersebar selepas Utusan Malaysia melaporkan dakwaan sebuah blog bahawa beliau bersetuju melantik Azmin menjadi timbalan perdana menteri menggantikan Dr Wan Azizah Wan Ismail.
 
Azmin menjalani rawatan di hospital selama enam hari minggu lalu selepas menjalani pembedahan berkaitan batu karang. – 9 Februari, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen