Guaido tidak tolak benarkan AS campur tangan krisis Venezuela


Pemimpin pembangkang Venezuela, Juan Guaido berkata beliau akan melakukan apa sahaja untuk menyelamatkan nyawa manusia di Venezuela dan mengakui campur tangan AS adalah "perkara sangat kontroversi". – Gambar EPA, 9 Februari, 2019.

PEMIMPIN pembangkang Venezuela, Juan Guaido tidak menolak kemungkinan akan membenarkan Amerika Syarkat (AS) campur tangan dalam usaha untuk memaksa Presiden Nicolas Maduro melepaskan jawatan dan mengurangkan krisis kemanusiaan di negara itu.

Pemimpin Perhimpunan Kebangsaan Venezuela itu berkata beliau akan melakukan apa sahaja untuk menyelamatkan nyawa manusia dan mengakui campur tangan AS adalah “perkara sangat kontroversi”.

Guaido pada bulan lepas melancarkan usaha mengusir Maduro dengan mengumumkan dirinya sebagai presiden sementara, yang diperakui oleh AS dan kira-kira 40 negara lain termasuk 20 negara Kesatun Eropah.

Di bawah pentadbiran Maduro, ekonomi Venezuela jatuh, menyebabkan negara itu mengalami hiperinflasi, kemelesetan ekonomi dan kurang keperluan asas seperti makanan dan ubatan.

Guaido cuba membawa masuk makan dan ubatan dari AS, tetapi semuanya masih lagi berada di gudang-gudang di Colombia kerana disekat oleh tentera Venezuela.

Terdahulu, Maduro berikrar tidak akan membiarkan “bantuan kemanusiaan palsu” masuk ke dalam negara dan mendakwa krisis di Venezuela sengaja direka oleh AS untuk membolehkannya campur tangan.

Menurut Guaido, 300,000 orang berisiko mati sekiranya bantuan yang amat diharapkan tidak dibawa masuk. – AFP, 9 Februari, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen