Pakatan akan jelaskan isu Melayu, Islam di Semenyih, kata Muhyiddin


Asila Jalil

Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin berkata parti itu akan menjelaskan secara menyeluruh berhubung perkara itu kepada penduduk di situ sepanjang tempoh berkempen. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 9 Februari, 2019.

PAKATAN Harapan (PH) akan menangani isu melibatkan sentimen Melayu-Islam yang sering dimainkan pembangkang untuk menyerang kerajaan, pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Semenyih nanti.

Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin berkata parti itu akan menjelaskan secara menyeluruh berhubung perkara itu kepada penduduk di situ sepanjang tempoh berkempen.

“(Kempen) untuk kita jelaskan beberapa perkara yang timbul sebelum ini, yang diputar belit pembangkang seperti isu-isu yang menampakkan seolah-olah PH tak perjuangkan hak orang Melayu dan tak martabatkan Islam.

“Ini tuduhan palsu. Kita akan jelaskan perkara ini secara menyeluruh, termasuk isu-isu yang dihadapi oleh Barisan Nasional dan kesilapan kerajaan lama,” kata beliau pada sidang akhbar di Semenyih hari ini.

Perkara lain termasuklah mengenai hubungan antara parti komponen dalam PH juga akan dijelaskan, tambah Muhyiddin.

Pembangkang katanya, memperlihatkan seolah-olah DAP tidak menyokong perjuangan parti komponen lain dalam PH. Beliau berkata dakwaan tersebut sengaja ditimbulkan untuk mencetus kemarahan rakyat terhadap kerajaan.

Ahli Parlimen Pagoh itu berkata kerajaan juga akan menerangkan apakah langkah yang telah diambil untuk menangani kos sara hidup rakyat.

Isu lain yang juga akan diambil perhatian ialah masalah banjir dan kemudahan kesihatan di Semenyih.

“Klinik dan hospital kerajaan sangat padat. Saya akan bawa perkara ini kepada perhatian menteri-menteri Kabinet,” kata Muhyiddin.

Beliau turut berkata rakyat tidak seharusnya memandang ringan terhadap PRK Semenyih kerana mereka tidak tahu apakah PAS dan Umno akan bekerjasama.

“Jentera kita kena bersatu dan bergerak sebagai satu pasukan kerana ini bukan pilihan raya kecil yang mudah. Ini satu tugas besar, cabaran getir.

“Saya sudah terlibat dalam banyak pilihan raya dan tak ada satu pun yang saya pandang ringan,” kata beliau, sambil menambah kerjasama antara PAS dan Umno mungkin berkesan di Cameron Highlands, tetapi keadaan di Semenyih adalah berbeza.

PRK Semenyih diadakan selepas kematian Adunnya Bakhtiar Mohd Nor, 57, akibat serangan jantung ada 11 Januari lalu.

Pada PRU14, Bakhtiar mendapat 23,428 undi, menewaskan calon Barisan Nasional Johan Abd Aziz, Mad Shahmidur Kosim (PAS) dan S. Arutchelvam (Parti Sosialis Malaysia) dengan majoriti 8,964 undi.

Penamaan calon akan diadakan pada 16 Februari dan hari mengundi pada 2 Mac. Undi awal dijadualkan pada 26 Februari. – 9 Februari, 2019


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen